Bida KL jadi Ibu Kota Buku Dunia

Saturday, April 28, 2018

Bida KL jadi Ibu Kota Buku Dunia

Bida KL jadi Ibu Kota Buku Dunia

USAHA pembidaan oleh Kuala Lumpur (KL) sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020 merupakan satu usaha yang tepat dan sesuai dengan hasrat mahu menjadikan KL sebagai antara pusat keilmuan utama dunia.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata, Ibu Kota Buku Dunia merupakan pengiktirafan Unesco kepada bandar raya yang menunjukkan komitmen tertinggi kepada penganjuran aktiviti buku, promosi buku dan pembacaan buku.

“Dalam perkara ini, saya sangat menyokong usaha kita membuat pembidaan KL sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020 dan dengan pembidaan ini, KL perlu melaksanakan aktiviti pembukuan, kesusasteraan dan gerakan membaca selama setahun bermula 22 April tahun penganugerahan (2020) sehinggalah pada 22 April tahun berikutnya (2021).

“Saya yakin usaha pembidaan ini akan dapat mencapai kejayaannya berdasarkan potensi ibu kota ini sebagai pusat penerbitan buku, pameran buku dan juga aktiviti pembacaan buku yang semakin giat berlangsung sekarang,” katanya pada ucapan perasmian majlis pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam, yang turut dihadiri Pengelola PBAKL, Abd Wahab Ibrahim.

Mohd Amin Nordin berkata, pencalonan atau pembidaan itu juga akan menjadikan ibu kota Kuala Lumpur mendapat pengiktirafan tertinggi daripada Unesco sebagai bandar raya membaca dan bandar raya buku.

“Sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota warisan kesusasteraan dan kebudayaan utama dunia.

“Imej Malaysia juga dapat dipertingkatkan sebagai negara berbudaya tinggi yang mengangkat bidang ilmu sebagai asas pembentukan negara,” katanya.

Menurutnya, selaku Datuk Bandar Kuala Lumpur, dia memberi jaminan akan membantu menyediakan prasarana yang diperlukan.

“Penganjuran pameran atau pesta buku seperti PBAKL ini, pelaksanaan kegiatan sastera dan budaya serta kegiatan berteraskan pembacaan buku pasti akan dibantu dan disokong sepenuhnya,” katanya.

Mengulas mengenai PBAKL pula, beliau berkata, penganjurannya dilihat semakin mendapat sambutan menggalakkan dari tahun ke tahun.

“Penyertaan daripada pempamer tempatan dan juga antarabangsa yang bertambah, menunjukkan bahawa acara yang dilaksanakan setiap tahun ini mendapat sambutan baik dari setahun ke setahun.

“Malah sambutan oleh warga kota Kuala Lumpur terhadap pesta buku ini juga semakin menggalakkan, di samping menarik kunjungan masyarakat dari negara luar,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah berkata, istimewa PBAKL yang dianjurkan buat tahun ke-37 tahun ini apabila  turut mendapat penyertaan dari Indonesia dan Arab Saudi.

PBAKL 2018 dianjurkan bermula 27 April sehingga 6 Mei ini menampilkan penglibatan pelbagai pempamer dan penerbit buku dalam dan luar negara di PWTC Kuala Lumpur.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment