Balas provokasi pembangkang secara sopan, berdisiplin
TELUK INTAN: Penyokong dan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak bertindak balas terhadap provokasi dilakukan pembangkang sebaliknya perlu terus komited menjalankan kempen secara bersopan dan berdisiplin.
Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, ia bertujuan mengelak insiden yang tidak diingini antara penyokong kerajaan dan pembangkang.
"Kita akan lawan dengan fakta yang betul ketika berkempen bagi menangkis segala tuduhan tidak bertanggungjawab oleh pembangkang yang sengaja suka menimbulkan isu bercorak sensitif dan bersifat pembohongan," katanya selepas merasmikan program Jualan Sentuhan Rakyat di Taman Nanas di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Teluk Intan yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.
Siew Kong yang juga calon BN bagi Parlimen Teluk Intan berkata beliau mendapat maklumat terdapat penyebaran tohmahan dan berita palsu melalui media sosial bagi memperlekeh calon BN di kawasan Parlimen berkenaan.
Justeru, beliau berharap lebih 66,000 pengundi di kawasan Parlimen Teluk Intan tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan itu, selain sudah meminta jentera pilihan raya BN menangkis provokasi berkenaan dengan penyebaran maklumat berdasarkan fakta dan sahih.
Siew Keong mengakui Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lebih mencabar kerana berlaku pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen Teluk Intan dan dua di DUN Changkat Jong dan Pasir Berdamar.
"Dalam tempoh 23 tahun ini pertama kali berlaku pertandingan tiga penjuru di kawasan Parlimen Teluk Intan.
"Tetapi ini tidak melemahkan semangat saya dan anggota parti komponen dalam BN bagi menangkis serangan pembangkang dan memenangi hati pengundi," katanya yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Siew Keong berkata dalam tempoh empat tahun lalu, beliau bekerja keras bagi membangunkan Teluk Intan menuju perubahan dengan mendapat banyak peruntukan daripada kerajaan negeri dan Pusat.
Ia membabitkan pelaksanaan projek prasarana awam termasuk pembinaan sekolah, kampus universiti serta lebuh raya membabitkan kos berbillion ringgit yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2022.
"Saya mengajak seluruh pengundi di Teluk Intan memberi sokongan padu kepada calon BN dalam PRU-14 ini kerana rakyat akan mendapat manfaat daripada aspek projek pembangunan yang sedang dalam pelaksanaan," katanya.
Sementara itu, Mohd Azhar berkata, pengundi di Teluk Intan sudah matang dan tahu membuat penilaian terhadap sumbangan serta khidmat bakti wakil rakyat BN yang membawa pembangunan di kawasan berkenaan.
"Saya berkeyakinan pengundi Teluk Intan akan menolak calon pembangkang yang ghairah membuat janji untuk meraih undi tetapi gagal melaksanakan projek untuk faedah rakyat," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment