Fitnah pembangkang melampau - Ali Rustam
MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Tan Sri Mohd Ali Rustam menyifatkan tuduhan yang dilemparkan pembangkang terhadapnya selama ini hanyalah untuk meraih undi.
Bekas Ketua Menteri itu berkata, tuduhan beliau mengambil duit rakyat untuk kepentingan peribadi adalah satu tuduhan melampau dan tidak patut sebagai umat Islam.
"Ini fitnah yang tak patut dibuat sebagai seorang umat Islam dan orang yang berpelajaran. Ini merosakkan nama baik saya dan sebab itu satu tuntutan saman sudah dibuat terhadap 'beliau' supaya keadilan dapat ditegakkan.
"Buat apalah saya nak ambil duit orang miskin, saya jadi Ketua Menteri dahulu untuk bantu orang miskin. Pembangkang yang tak setuju, sebab itu fitnah macam-macam sehingga sekarang," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil berkata, nama baiknya tercalar disebabkan tohmahan tidak benar terhadapnya selama ini.
"Fitnah ini sangat tidak patut, kalau saya biarkan orang ramai ingat memang saya makan duit orang miskin. Setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) mahu fitnah? Harap keadilan dapat ditegakkan," katanya.
Jumaat lalu, NSTP melaporkan peguam mewakili Mohd Ali menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan kepada penyandang Ahli Parlimen Bukit Katil yang kini dikenali Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang bertarikh 25 April lalu.
Saman itu adalah berkaitan tuduhan fitnah Shamsul Iskandar terhadap Mohd Ali yang dibuat ketika satu sesi ramah mesra rakyat pada 11 Februari 2018 di sebuah taman rekreasi di Ayer Molek di sini.
Kenyataan fitnah itu disiarkan oleh Shamsul Iskandar menggunakan aplikasi Facebook (FB) Live beliau di profil @shamsuliskandarmohdakin dan kemudiannya dimuatnaik dan diterbitkan semula di profil FB terbabit secara kekal dalam bentuk 'Live Video'.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment