Sijangkang bakal dapat sekolah baharu

Sunday, April 29, 2018

Sijangkang bakal dapat sekolah baharu

Sijangkang bakal dapat sekolah baharu

SIJANGKANG: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang bakal mendapat kemudahan sekolah baharu sekiranya calon Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14 ).

Calon BN di kerusi itu, Datuk Sulaiman Mohd Karli, berkata selain sekolah, beliau akan cuba memenuhi impian penduduk yang mahu kemudahan beribadah seperti masjid dan surau baharu.

Katanya, masalah sekolah di DUN Sijangkang sudah diketahui umum, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah meluluskan dana berjumlah RM2.6 juta bagi penambahan bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Kebun Baharu, dekat sini, berikutan kepadatan pelajarnya.

"Masalah utama di kawasan ini ialah kemudahan sekolah. Sekolah sedia ada mempunyai bilangan pelajar terlalu ramai hingga mencecah antara 2,000 hingga 3,000 orang.

"Ini menyebabkan satu kelas ada 30 hingga 40 pelajar. Ada aduan melaporkan pelajar berasa sempit dan tidak selesa. Oleh itu, jika kita (BN) menang, saya janji akan ada bangunan sekolah baharu yang dapat menyelesaikan masalah ini," katanya.

Sulaiman yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat berkata, kepadatan pelajar itu disebabkan pembukaan taman perumahan baharu sekitar kawasan terbabit.

Katanya, kedudukan Sijangkang berhampiran pelabuhan laut dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut menyebabkan bilangan pelajar semakin bertambah.

"Sijangkang ibarat kawasan segi tiga emas. Banyak pelabur sudah membina kilang atau syarikat di kawasan ini untuk memudahkan urusan perniagaan mereka.

"Sebab itu penduduk di sini semakin bertambah dan kita perlukan sekolah lagi bagi memastikan pelajar dapat belajar dalam keadaan selesa," katanya.

Berkenaan pembinaan surau atau masjid, Sulaiman berkata, perkara itu sudah dijanjikan pakatan pembangkang selepas merampas negeri ini pada 2008.

Bagaimanapun, katanya, hingga kini janji itu tidak pernah tertunai dan rakyat sudah mengeluh berkenaan perkara berkenaan.

"Satu lagi yang BN akan lakukan ialah pembinaan Klinik Kesihatan. Di sini memang sudah ada klinik tetapi agak jauh dan tidak mampu menampung peningkatan pesakit," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment