Fitnah MCKIP untuk semai sentimen benci

Sunday, April 29, 2018

Fitnah MCKIP untuk semai sentimen benci

Fitnah MCKIP untuk semai sentimen benci

KUANTAN: Fitnah dilemparkan pembangkang terhadap projek Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) hanya bertujuan mewujudkan sentimen membenci kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam kalangan rakyat.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Indera Mahkota, Datuk Dr Johan Mat Sah berkata tohmahan pembangkang dari segi kuota pekerjaan dan manfaat ekonomi daripada pelaburan dimeterai dengan kerajaan China itu juga untuk mengelirukan masyarakat serta menolak MCKIP.

Katanya, BN Indera Mahkota bersama wakil belia, penduduk dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah ini sudah mengadakan beberapa siri lawatan ke MCKIP bagi mendapatkan gambaran sebenar, sekali gus memperbetulkan persepsi masyarakat.

"Pada 16 April lalu, kita melakukan lawatan ke MCKIP dan mendapat taklimat daripada wakil Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), MCKIP serta Alliance Steel.

"Kita sudah masuk dan melihat sendiri kawasan itu (MCKIP) ada surau, kedai mamak, kedai runcit Islam... yang dikatakan pembangkang sebelum ini kononnya kawasan itu dipelopori warga China adalah tidak benar," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Dr Johan yang juga dikenali sebagai 'doktor rakyat' berkata, malah tuduhan pembangkang terutama melalui laman sosial, kononnya MCKIP menganaktirikan sumber tenaga tempatan dan hanya menggunakan pekerja dari China, adalah tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, beliau berkata, sebanyak 19,000 peluang pekerjaan dijana dengan syarat kuota 70 peratus diberikan kepada pekerja tempatan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Indera Mahkota berkata, ketika ini, seramai 1,500 pekerja tempatan bertugas di MCKIP, manakala 2,000 pekerja lagi diperlukan segera untuk mengisi pelbagai jawatan kosong.

"Yang pembangkang fitnah kononnya majoriti pekerjaan di MCKIP dipelopori warga China, mungkin dilihat dari sudut awal operasi apabila usaha pembinaan kilang menggunakan kepakaran tenaga kerja dari negara itu.

"Seramai 1,091 pekerja (termasuk Installer) bagaimanapun akan pulang ke China sebaik kerja selesai," katanya.

Dr Johan berkata, kebajikan pekerja tempatan juga tidak diabaikan apabila kemudahan flat pekerja dengan dewan makan dan pasar raya disediakan.

"Saya melihat rakyat banyak yang sudah sedar dan faham mengenai isu MCKIP. Waktu kempen ini, kita akan turut membuat ceramah untuk beri lebih kefahaman kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, kewujudan MCKIP yang berjaya menarik pelaburan swasta sebanyak RM30 bilion hingga Mac lalu, harus dilihat dari sudut positif, terutama dalam menambat minat pelabur tempatan dan asing.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment