Dr Johan tak gusar dilabel 'underdog' di Indera Mahkota
KUANTAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Indera Mahkota, Datuk Dr Johan Mat Sah, tidak gusar bersaing dengan dua lagi calon 'heavyweight' di kawasan itu.
Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Indera Mahkota itu sebaliknya berpendapat ia satu kelebihan kepadanya apabila tiada sebarang tekanan dalam usaha merampas Parlimen itu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah serta DUN Semambu.
Bagaimanapun, katanya, beliau dan BN Indera Mahkota tetap mempunyai kekuatan tersendiri untuk memenangi semula kerusi terbabit yang disandang PKR selama dua penggal.
"Tiada tekanan atau apa-apa yang saya perlu bimbangkan untuk menentang mereka (calon pembangkang). Orang nak label saya 'underdog' itu tiada masalah. Kita ada kekuatan tersendiri.
"Kita akan bekerjasama rapat dengan seluruh parti komponen dan jumpa seberapa ramai pengundi bagi menerangkan usaha dan perkara yang kita ingin lakukan di Parlimen Indera Mahkota," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam PRU-14, Dr Johan menentang Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dan bekas Ahli Parlimen Temerloh yang kini mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Abdullah.
Sementara itu, Nasrudin berkata, partinya tetap berpeluang memenangi kerusi Parlimen Indera Mahkota walaupun berdepan saingan tiga penjuru.
Sebagai anak jati Beserah, katanya, beliau yakin pengundi di kawasan DUN itu akan bersamanya dan PAS.
Saifuddin ketika ditemui pula berkata, beliau menghormati dua lawannya itu dan akan bekerja keras mempertahankan kerusi berkenaan.
"Dalam konteks politik hari ini, rakyat ingin menilai parti mana yang boleh membela nasib mereka pada masa depan," katanya.
Dua calon muka baharu BN turut berdepan pertembungan tiga penjuru ialah Ketua Penerangan BN Indera Mahkota, Datuk Suhaimi Sulong yang bertanding di DUN Beserah, bersaing dengan penyandang kerusi itu, Andansura Rabu (PAS), selain Zulkifli Mamat (PKR).
Bagi DUN Semambu, calon BN yang juga Ketua Pemuda MCA Indera Mahkota, Quek Tai Seong, bersaing dengan penyandang kerusi itu, Lee Chean Chung (PKR), selain Mohamed Yusof Hashim (PAS).
Pada PRU-13, kerusi Parlimen Indera Mahkota dimenangi Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman dengan majoriti 7,523 undi manakala DUN Beserah dimenangi Andansura (majoriti 3,987 undi) dan DUN Semambu oleh Lee Chean Chung (majoriti 3,200 undi).
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment