Cemas hos dapur gas terbakar

Sunday, April 29, 2018

Cemas hos dapur gas terbakar



DUA pekerja kantin berdepan detik cemas selepas hos dapur gas yang digunakan bocor apabila api tiba-tiba marak dalam kebakaran di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, Tenom, hari ini.

Dalam kejadian pada 3 petang itu, pekerja kantin Mohd Izzudin Aizat Mohd Ishak, 21, berkata api dipercayai berpunca daripada hos dapur gas yang bocor ketika rakannya sedang memasak air.

“Kantin tidak beroperasi hari ini, tetapi kami berada di situ untuk membuat kerja dan rakan saya sedang menjerang air.

“Bagaimanapun, berlaku kebocoran pada hos dapur gas sebelum api menyala. Kami cuba memadamkannya dengan menggunakan alat pemadam api, namun gagal,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd Izzudin, dia bersama rakannya dan tiga lelaki lain yang melakukan persiapan kempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di dewan itu terus keluar untuk menyelamatkan diri.

“Saya panik kerana api semakin besar, namun sempat menghubungi bomba melalui talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tenom berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.10 petang dan seramai 11 anggota bersama dua jentera dikejar ke lokasi.

Semalam, dewan itu digunakan sebagai pusat penamaan calon PRU-14 bagi Parlimen Tenom.



sumber: hmetro

0 comments:

Post a Comment