Dakwaan sabotaj hanya cubaan raih simpati
KOTA TINGGI: Dakwaan sabotaj pesawat yang dilemparkan Tun Dr Mahathir Mohamed, disifatkan strategi perang saraf sebagai persediaan pakatan pembangkang menyalahkan Barisan Nasional (BN) sekiranya kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berpendapat strategi itu sebagai cubaan meraih simpati dalam kempen PRU-14 yang sedang berlangsung.
"Mungkin ini adalah persediaan gerak saraf, supaya seolah-olah kekalahan mereka (pakatan pembangkang) disebabkan sabotaj kerajaan BN.
"Saya yakin kemungkinan ramai calon pembangkang akan kalah, sebab nampak gayanya tsunami biru (BN) lebih menyerlah," katanya ketika ditemui pada program Ramah Mesra Bersama Peniaga di Kawasan Perniagaan Felda Sungai Mas di sini, hari ini.
Azalina mengulas tindakan Dr Mahathir menjadikan dakwaan sabotaj pesawat yang patut dinaikinya untuk penerbangan ke Langkawi kelmarin, sebagai modal kempen ketika bertemu penduduk Langkawi, selepas penamaan calon PRU-14.
Meskipun Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), mengetepikan sebarang unsur sabotaj terhadap pesawat berkenaan, penemuan itu ditolak Dr Mahathir kerana mendakwa agensi itu tidak menjalankan sebarang siasatan berhubung dakwaannya.
Di sebalik pengumuman rasmi hasil siasatan CAAM itu, dakwaan sabotaj terbabit terus menjadi kandungan ucapan Dr Mahathir, ketika bertemu pengundi masyarakat Cina di pekan Kuah, Langkawi, malam kelmarin.
Beliau mengulangi dakwaan sama ketika ditemui media, selepas beramah mesra dengan pengundi sekitar Pasar Awam Kuah, Jalan Kelibang, pagi semalam.
Dr Mahathir, yang menggunakan lambang PKR bagi bertanding di Parlimen Langkawi untuk PRU-14 ini, berkata beliau tidak dapat menerima kenyataan CAAM itu, kerana kesimpulan dibuat tanpa siasatan rapi terhadap pesawat itu.
"Mereka kata ia bukan sabotaj. Bagaimana mereka buat kesimpulan sebegitu, sedangkan tak buat apa-apa siasatan," katanya.
Azalina, yang juga calon BN bagi Parlimen Pengerang, tidak terperanjat dengan dakwaan Dr Mahathir itu dan menyifatkan tindakannya sebagai cubaan mewujudkan 'serangan awal' menyalahkan BN.
Sementara itu, Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata rakyat semakin muak dengan gelagat Dr Mahathir menyalahkan kerajaan atas semua perkara dan taktik itu tidak berjaya meraih simpati orang ramai.
"Tidak mungkin BN boleh menghalangnya daripada pergi ke Langkawi kerana beliau dengan mudah boleh mengambil mana-mana pesawat komersial dari Kuala Lumpur ke Langkawi. Masih punya banyak waktu sebelum penamaan calon.
"Dr Mahathir sangat takut jika kalah di Langkawi. Itulah sebab dia sanggup mencipta dakwaan tak masuk akal untuk mendapatkan undi simpati daripada pengundi," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment