Filem pendek, Mahathir terdesak raih simpati
SEGAMAT - Penampilan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu video filem pendek bersama dua kanak-kanak menjelang PRU14 pada minggu depan adalah tindakan terdesak untuk meraih simpati pengundi, kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam.
Calon kerusi Parlimen Segamat itu berkata, beliau percaya langkah berkenaan sebagai tindakan terakhir oleh seorang 'warga emas' yang mempunyai cita-cita untuk menjadi perdana menteri ketujuh.
"Saya tidak tahu seseorang semasa dia berkuasa selama 22 tahun dan telah melakar sejarah sama ada baik atau sebaliknya, ingin mencipta sejarah semula walaupun terpaksa muncul dalam filem pendek," katanya selepas program walkabout dan bertemu pengundi di sekitar Pekan Batu Anam, hari ini.
Dalam video berdurasi satu minit 36 saat itu, seorang kanak-kanak perempuan bernama Aisyah bertanya kepada Mahathir yang dipanggilnya atuk mengapa beliau masih perlu bekerja sebelum Aisyah memperkenalkan abangnya, Adam.
Mahathir kemudian menerangkan mengenai maksud 'merdeka' kepada kanak-kanak tersebut sebelum sebak dan mula mengalirkan air mata apabila mengatakan masanya sudah semakin suntuk untuk melakukan perubahan di negara ini.
"Bagi saya, video ini adalah cubaan untuk mempengaruhi pengundi agar menyokongnya dan pengundi tidak seharusnya terpengaruh dengan sentimen politik seperti ini," kata Subramaniam.
Sementara itu berhubung kempen PRU14 minggu depan, Subramaniam berkata, beliau bersama calon Dun Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip dan calon Dun Jementah, Chiam Yok Meng cuba untuk mempertingkatkan sokongan kaum Cina di Parlimen Segamat.
"Banyak projek-projek pembangunan masyarakat Cina dilakukan di kawasan ini dan seperti di Batu Anam ini, kita telah membina semula sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang bernilai RM6 juta yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.
"Mesei-mesej ini sedang kita sampaikan sekarang dan kita cuba tingkatkan sokongan kaum Cina daripada 20 peratus pada PRU13 kepada 30 peratus pada PRU14 ini dan saya yakin sasaran tersebut dapat dicapai kali ini," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment