Rumah Ikon Penyokong Bola Sepak Kedah dilanda ribut

Monday, April 30, 2018

Rumah Ikon Penyokong Bola Sepak Kedah dilanda ribut

Rumah Ikon Penyokong Bola Sepak Kedah dilanda ribut

YAN - Rumah Ikon Penyokong Bola Sepak Kedah, Zulkifli Hashim, 39, atau lebih dikenali sebagai Puaka Jerai di Pekan Sungai Yan, rosak teruk selepas dilanda ribut kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Zulkifli berkata ketika kejadian dia tiada di rumah kerana keluar menghantar anak sulungnya, Nur Syazliana Umairah, 7, ke sekolah manakala isterinya, Nafisah Md Rozki, 36, pula berada di rumah bersama seorang lagi anak mereka Muhammad Luqman Hakim, 4.

Katanya, apabila pulang, dia nampak bumbung rumahnya sudah tiada.

"Isteri saya pula dah pergi selamatkan diri ke rumah saudara berdekatan," katanya.

Selain rumah mangsa, turut terjejas ribut ialah dua lagi rumah di Kampung Pekan Sungai Yan, sebuah di Kampung Batu 20, Teroi dan dua lagi di Pekan Yan.

Sementara itu, isteri mangsa, Nafisah berkata, ketika kejadian dia sedang mengemas rumah dan secara tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi angin kuat sehingga bumbung rumahnya terangkat dan diterbangkan angin.

“Masa tu saya tengah sapu sampah dan bila nampak bumbung diterbangkan angin saya terus ambil anak dan berlari keluar rumah,” katanya.

“Dalam keadaan hujan lebat, saya bergegas keluar bawa anak ke rumah abang,” katanya.

Katanya, semua perabot dan barang di dalam rumah basah akibat terkena air hujan.

Tambahnya, ini adalah kali ketiga rumah mereka dilanda ribut dan kali ini paling teruk.

Menurut Nafisah, bumbung rumahnya diterbangkan angin dan menghempap bumbung rumah abangnya.

Kakak iparnya, Roshanina Saari, 29, berkata dia dan dua anaknya, berusia satu hingga empat tahun bernasib baik kerana tidak dihempap serpihan bumbung yang runtuh akibat ribut terbabit.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama dua anaknya sedang tidur di rumah manakala suaminya pula sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja .

“Secara tiba-tiba serpihan bumbung rumah runtuh bersebelahan tempat saya dan anak-anak tengah tidur, mujur la tak timpa kami.

“Saya dan suami segera bawa anak-anak keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri dan bersyukur kami tak cedera,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Pekan Sungai Yan, Naseriah Ali berkata, dia dimaklumkan tentang kejadian pagi tadi dan terus ke lokasi kejadian bagi melihat keadaan rumah mangsa.

Naseriah berkata, pihaknya akan memaklumkan hal berkenaan kepada pihak berkuasa dan bantuan bencana akan disalurkan secepat mungkin.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment