Tindakan Puad selaras konsep Muafakat Johor

Sunday, April 29, 2018

Tindakan Puad selaras konsep Muafakat Johor

Tindakan Puad selaras konsep Muafakat Johor

KLUANG: Tindakan Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengambil keputusan untuk tidak bertanding atas tiket Bebas selepas mendapat nasihat daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar adalah tindakan yang waras dan bijaksana.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tindakan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu juga menunjukkan pemimpin negeri ini sentiasa meletakkan konsep 'Muafakat Johor' sebagai keutamaan sekali gus mengutamakan nilai perjuangan parti daripada kepentingan peribadi.

"Alhamdulillah, saya sudah lama mengenali (Mohd Puad), saya rasa Tuanku Sultan Johor memberi titah dan nasihat yang melihat melalui pertimbangan negeri kita sendiri.

"Tuanku tidak mahu melihat pemimpin kita kerana marah, emosi, atau kedudukan semasa membuat keputusan yang akhirnya menjejaskan kredibiliti pemimpin berkenaan," katanya selepas Majlis Pecah Tanah Gelanggang Futsal, di Kampung India, Paloh, di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas mengakui pada mulanya beliau bimbang sekiranya bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu membuat keputusan yang bercanggah apabila bertanding sebagai calon Bebas.

"Saya bimbang di peringkat awal, takut kalau Mohd Puad membuat keputusan bercanggah dengan cara kita di Johor tetapi, akhirnya dia membuat satu keputusan yang saya cukup alu-alukan," katanya.

Sebelum ini, timbul desas-desus Mohd Puad dikatakan akan bertanding atas tiket Bebas selepas tidak dicalonkan pada PRU-14. Pada 25 April, beliau meletak jawatan sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Isnin lalu, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat, Haliza Abdullah yang juga seorang peguam akan menggantikan Mohd Puad bertanding kerusi Parlimen Batu Pahat.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment