Penantian miliki rumah berakhir

Monday, April 30, 2018

Penantian miliki rumah berakhir

Penantian miliki rumah berakhir

LABU - Penantian 43 keluarga untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai apabila kerajaan negeri melancarkan projek perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Sutera Labu, di Ladang Kirby, Labu di sini, tadi.

Kemelut yang berlaku hampir 10 tahun itu berjaya diselesaikan oleh kerajaan negeri dalam usaha membantu penduduk di Ladang Kirby ini memiliki rumah kediaman yang lebih selesa.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihaknya sangat komited dalam memastikan keselesaan dan kesempurnaan rakyat, termasuk memiliki rumah kediaman yang lebih selesa.

Katanya, buat permulaan projek ini sebanyak 200 unit rumah akan didirikan bermula Julai ini, dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Rumah PPR ini akan diberi keutamaan kepada penduduk di Ladang Kirby terutamanya kepada 43 buah keluarga yang sehingga kini masih lagi tinggal di rumah ladang dekat situ.

“Sebaik sahaja siap kita akan menjual rumah ini dengan harga RM35,000 sahaja, berbanding dengan harga kos keseluruhannya sebanyak RM195,000, jika tak mampu nak beli mereka boleh sewa rumah itu dengan bayaran bulanan sebanyak RM250 sebulan.

“Apa yang penting, mereka ini diberi pembelaan, dan saya sangat teruja apabila dapat membantu rakyat di negeri ini mendapatkan sebuah rumah kediaman yang selesa demi masa depan yang sempurna,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya pada sidang media selepas Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Sutera Labu, di Ladang Kirby di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hasan, dan calon Dun Labu, Datuk Hasim Rusdi.

Tambahnya, pihaknya juga akan menambah bilangan pembinaan rumah PPR di kawasan Labu Hilir sebanyak 300 unit lagi, bagi memastikan penduduk di sekitar Labu dapat memiliki rumah sendiri, dengan keluasan tiga bilik dan dua bilik air.

Kata Mohamad, penduduk yang berminat untuk membeli rumah itu nanti boleh membuat permohonan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Bahagian Unit Perumahan.

Terdahulu nasib penduduk dan pekerja di Ladang Kirby milik Sime Darby di sini, terkesan setelah perkhidmatan kerja mereka tidak lagi diperlukan.

Mereka sebelum ini diarahkan keluar dari rumah pekerja itu oleh pemilik tanah, dengan menawarkan wang pampasan antara RM8,000 sehingga RM15,000.

Namun, bekas pekerja ladang di situ menolakkan, disebabkan tiada rumah lain, dan bertegas mahu memiliki rumah sendiri di kawasan ladang di situ, memandangkan kebanyakan mereka merupakan seorang penternak lembu dan kambing.

Kerajaan negeri sebelum ini ada menawarkan rumah PPR di Senawang, tetapi di tolak kerana penduduk di sini mahu terus kekal di Ladang Kirby, dan berpendapat perumahan di Senawang itu menghalang mereka daripada membawa haiwan ternakan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment