Ahli khianati UMNO akan dipecat - TPM
BAGAN DATUK: Ahli UMNO yang menjadi penyokong dan pencadang kepada mana-mana pemimpin UMNO yang bertanding atas tiket bebas atau pembangkang akan dipecat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan tegas itu perlu kerana golongan terbabit mengkhianati parti.
"Saya ingin menyebutkan memang terdapat dalam kalangan (bekas) pemimpin UMNO di peringkat bahagian yang bertanding sebagai calon Bebas.
"Sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan UMNO, secara automatik bukan hanya yang bertanding bebas tetapi pencadang dan penyokong yang terbabit secara langsung dalam penajaan pada calon berkenaan (akan dipecat).
"Jadi, secara automatik mereka akan terkeluar daripada menjadi ahli UMNO," katanya kepada media selepas merasmikan program NBOS: 1AMANWEEK 2018 Banteras Jenayah dan Perangi Dadah di Dataran Bagan Datuk di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin bahagian UMNO yang bertanding atas tiket bebas dan pembangkang pada hari penamaan semalam.
Ahmad Zahid turut memuji tindakan semua parti politik yang bertanding kerana berjaya menjaga disiplin penyokong sepanjang proses penamaan calon berlangsung.
Katanya, tiada sebarang insiden kekerasan dilaporkan semalam yang memerlukan campur tangan polis dalam menyuraikan keadaan berlaku.
"Terima kasih juga kepada Ketua Polis Negara (Mohamad Fuzi), semalam sewaktu diadakan penamaan calon di seluruh negara kita dapati tidak berlaku sebarang insiden yang memerlukan campur tangan pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia).
"Sekali pun (ada laporan) ia cuma ada insiden menggunakan dron dan itu di bawah DCA.
"Selain itu, saya cukup berpuas hati dengan proses penamaan calon di semua 222 pusat penamaan calon di seluruh negara termasuk pedalaman Sabah dan Sarawak serta kawasan yang kita jangkakan sebagai kawasan kerusi tumpuan atau kawasan 'flash point'," katanya.
Ahmad Zahid berkata, jika aliran itu berterusan, beliau yakin suasana itu dapat dikekalkan untuk tempoh 10 hari mendatang khususnya pada hari pengundian pada 9 Mei depan.
"Saya harap semua parti politik akan dapat menghormati peraturan dan mengawal perasaan pengikut masing-masing.
"Saya berterima kasih kepada Ketua Polis Negara dan pasukan PDRM seluruh negara yang bukan hanya mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditentukan tetapi mengambil inisiatif untuk sama-sama terbabit dengan semua parti politik supaya lebih tertib ketika penamaan calon, ketika kempen dan Insya Allah pada hari mengundi," katanya.
Sementara itu, Mohamad Fuzi ketika diminta mengulas mengenai laporan terdapat kain rentang yang menyinggung dan mencetuskan sensitiviti sepanjang tempoh proses penamaan berlangsung berkata, setakat ini kes yang dilaporkan adalah kes terpencil.
"Ada (kes dilaporkan) tapi tak banyak, saya rasa ia sangat terpencil dan jumlahnya kurang dari 10 di seluruh negara, jadi kita telah ambil tindakan yang perlu dan jalankan siasatan," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment