Arul Kanda anggap Zaid insan kecewa

Monday, April 30, 2018

Arul Kanda anggap Zaid insan kecewa

Arul Kanda anggap Zaid insan kecewa

KOTA BHARU: Datuk Zaid Ibrahim yang kecewa tidak dicalonkan DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), cuba menarik perhatian ramai untuk menyaman ANZ Bank di Australia.

Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, berkata Zaid kononnya bertindak begitu bagi mendapatkan semula wang RM2.6 bilion.

"Saya sebenarnya bersimpati dengan nasib Zaid kerana tahu dia kecewa, sebelum ini dijanjikan kerusi oleh DAP. Malangnya parti itu mengutamakan calon Cina menyebabkan dia (Zaid) tidak tercalon bertanding pada PRU-14.

"Pada pendapat saya, Zaid hanya mahukan publisiti kerana sebelum ini sudah banyak kali saman dikemukakan termasuk 1MDB, namun ditolak mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Soal Jawab Isu Semasa anjuran Barisan Nasional (BN) Kota Bharu dan Kelab Sahabat N87.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohd Fatmi Che Salleh dan calon BN Parlimen Kota Bharu, Fikhran Hamshi Mohd Fatmi serta calon BN DUN Kota Lama, Chua Hock Kuan.

Zaid sebelum ini mendedahkan peguamnya di Australia bersetuju mengambil kes terhadap ANZ Bank bagi mendapatkan semula RM2.6 bilion yang didakwanya diseleweng daripada dana 1MDB.

Katanya, jika berjaya, beliau akan menggunakan bayaran pampasan untuk aktiviti bagi membolehkan rakyat berfikir secara rasional.

Menerusi blog pada 23 April lalu, Zaid mendedahkan beliau ke Sydney seminggu sebelum itu untuk mengarahkan Peguamcara, Levitt Robinson meninjau kemungkinan mendakwa ANZ Bank.

Pada masa sama, Arul Kanda berkata, tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterusan mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB, hanya dakwaan dan spekulasi semata-mata bagi mengelirukan rakyat.

Katanya, kebanyakan fitnah dibuat Dr Mahathir adalah berasaskan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, sedangkan perkara berkenaan belum dibicarakan atau diputuskan mahkamah.

"Apa yang Dr Mahathir sebarkan adalah spekulasi semata-mata tanpa kebenaran," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment