Terharu diziarahi, terima pelbagai bantuan
KUANTAN: "Terima kasih sudi datang melawat ayah saya. Sebelum ini pun, beliau memang sudah beberapa kali menziarahi ayah dan memberi pelbagai bantuan diperlukan."
Demikian perasaan terharu Tengku Norizan Tengku Abdul Rahman, 54, dengan kunjungan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah, ke atas ayahnya, Tengku Abdul Rahman Tengku Muhammad, 95.
Beliau berkata, ayahnya yang juga pesara polis tidak sedarkan diri dan hanya terbaring di atas katil sejak setahun lalu selepas diserang angin ahmar lalu terjatuh ketika pulang dari kedai.
"Memang sedih melihat keadaan ayah sekarang. Sebelum ini, walaupun umur sudah melebihi 90 tahun, ayah masih kuat ke mana-mana.
"Namun selepas terjatuh, ayah tidak sedarkan diri dan hanya terbaring. Bercakap dan makan pun tidak boleh, hanya minum susu menggunakan tiub khas," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Lembing di sini, hari ini.
Terdahulu, Md Sohaimi yang sentiasa peka terhadap permasalahan dan keluh-kesah penduduk, meluangkan masa melawat Tengku Abdul Rahman serta menyampaikan sumbangan.
Beliau yang juga penyandang kerusi DUN Sungai Lembing berkata, program ziarah seumpama itu bukan baru dilaksanakan, sebaliknya inisiatif sama sudah dilakukan bekas wakil rakyat BN sebelum ini.
"Ini adalah cara kita bertemu dengan penduduk, terutama yang tidak bernasib baik. Kita bukan melaksanakan program ziarah ini pada musim pilihan raya sahaja tetapi setiap masa," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment