Agenda pembangunan pendidikan diteruskan

Saturday, April 28, 2018

Agenda pembangunan pendidikan diteruskan

Agenda pembangunan pendidikan diteruskan

PEKAN - Agenda pembangunan dalam pendidikan akan diteruskan sekiranya rakyat terus memberi mandat kepada kerajaan BN menerajui negara ini selepas PRU14.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesinambungan semua perancangan itu penting supaya ia tidak terhenti.

Menurutnya, bidang pendidikan negara setiap tahun mendapat perhatian melalui peruntukan RM56 bilion.

“Itu adalah komitmen kerajaan selain menggambarkan bahawa prinsip pendemokrasian pendidikan akan terus diberi tumpuan oleh kerajaan BN jika diberi mandat untuk menerajui  pentadbiran negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Prinsip itu semakin hari semakin menjadi realiti yang mana taraf dan akses kepada kualiti pendidikan itu menjadi sesuatu milik rakyat di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru dan Kecemerlangan Pendidikan Pekan di Universiti Automotif Malaysia DRB  - Hicom, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Seri Abu Bakar Harun dan Pegawai Pendidikan Daerah, Miftah Suris.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan BN turut menyediakan bantuan subsidi yang besar setiap tahun kepada murid sekolah rendah iaitu kira-kira RM8,000 setahun.

Manakala, katanya, lebih RM9,000 untuk pelajar sekolah menengah serta lebih 90 peratus kos pengajian bagi graduan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Saya percaya masih banyak lagi perkara yang kerajaan boleh lakukan untuk melonjakkan bidang pendidikan terutama untuk melihat generasi muda memiliki kemahiran berfikir secara kritis, memiliki ciri pemimpin berjaya, menguasai dwi-bahasa, elemen kerohanian dan identiti nasional secara berterusan.

“Ini selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025 sebagai asas bagi kita mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi dan pembangunan modal insan Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment