Politik khidmat bakti gaya Zaidi

Monday, April 30, 2018

Politik khidmat bakti gaya Zaidi

Politik khidmat bakti gaya Zaidi

SERKAM - Dua penggal sebagai calon BN Dun Serkam memberikan kelebihan kepada Datuk Zaidi Attan untuk terus berkhidmat kepada penduduk di dewan undangan negeri itu.

Anak jati Kampung Umbai itu berkata, meskipun PRU14 menjanjikan cabaran berbeza dengan pertembungan tiga penjuru, namun dia yakin pengundi Serkam jelas dengan soal pemilihan parti.

Menurut Zaidi, menerusi kerja-kerja dilaksanakan sepanjang bergelar Adun di situ, bukanlah mustahil BN terus menerajui kepimpinan di Dun Serkam.

“Saya dah ada di sini sebelum PRU14 lagi. Usaha dilaksanakan menerusi politik khidmat bakti dilakukan diharap dinilai pengundi ketika mereka hendak menjatuhkan undi nanti.

“Selama ini, hanya kerajaan BN bersama mereka, bukanlah pihak lawan, jadi biarlah parti yang benar-benar boleh berkhidmat kepada mereka meneruskan kepimpinan di sini,” katanya.

Bakal berhadapan calon Pas yang juga sekampung dengannya, Ahmad Rahudin dan Nor Khairi Yusof (PKR), kata Zaidi, mana-mana calon atau parti pastinya mempunyai penyokong tersendiri.

“Dalam konteks perkhidmatan, saya istiqamah berhadapan pihak lawan. Bagaimanapun, melihat kepada pengundi di sini, sejak PRU pertama sehingga kini, mereka masih bersama kami.

“Saya lihat ia satu kelebihan kepada saya sebagai calon yang selama ini sentiasa dekat dengan pengundi,” katanya.

Bukan lakonan semata-mata

Walaupun pelaksanaan kerja dijalankan selepas PRU13 berakhir, namun usaha memastikan 15,789 pengundi Dun Serkam giat dijalankan lebih-lebih lagi musim berkempen bermula.

“Kita mempunyai tujuh PDM iaitu Bukit Tembakau, Umbai, Anjung Batu, Pulai, Serkam Darat, Serkam Pantai dan Tedung.

“Dengan adanya PDM ini gerak kerja tersusun dan sistematik dijalankan untuk meyakinkan mereka tidak salah menentukan hala tuju Dun Serkam malah Melaka sendiri.

“Ini bukan satu lakonan, bila tiba musim PRU baru muncul dan bekerja. Kita sentiasa tunjukkan kepada mereka bahawa PRU atau tidak BN terus berikan perkhidmatan kepada pengundi.

“Apabila dicalonkan kali kedua, masyarakat boleh menilai janji atau manifesto PRU13 dilaksanakan dengan baik begitu juga bagi PRU14 nanti,” katanya bakal mewujudkan lebih peluang kepada belia dengan menubuhkan Kompleks Niaga Belia di Pantai Siring sekali gus mempopularkan pantai itu dalam aspek pelancongan.

Akui Zaidi, segala gerak kerja melibatkan Wanita, Puteri dan Pemuda termasuklah MIC serta MCA, menjadi tulang belakang kekuatan BN Dun itu.

“Saya cukup bangga dengan komitmen semua jentera terlibat. Mereka menyusun pelbagai program secara rapi dalam usaha merangka khidmat terbaik kepada masyarakat di sini,” katanya.

Mengulas mengenai persempadanan semula melibatkan Dun Serkam, katanya, ia turut memberikan kesan apabila salah satu PDM berpindah ke Dun Merlimau.

“Apa saya pasti, pengundi Cina dan India berkurangan kesan daripada persempadanan semula itu.

“Saya sendiri tidak berani memberi keyakinan kerana ramai pengundi kali pertama terlibat dalam proses ini.

“Tetapi, saya boleh katakan, majoriti itu dapat dikekalkan dengan adanya pengundi-pengundi sedia ada, pengundi lama, pengundi biasa termasuklah pengundi baru yang yakin terhadap inisiatif dibawakan saya sepanjang menjadi pemimpin di sini,” katanya.

Ketua Umno Penerangan Bahagian Jasin itu juga berkata, dia meminta pengundi dan jenteranya bermuafakat dalam menentukan nasib bangsa dan Dun Serkam.

“Saya percaya rakyat terdahulu istiqamah membuat penilaian dengan mengundi BN.

“Harapan saya, ia dapat diwariskan kepada BN bagi PRU14,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment