BN lancar kempen platform digital
KUALA LUMPUR: Rakyat kini boleh melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdiri di depan mereka di dalam rumah masing-masing dan berbicara dengan pengundi pada bila-bila.
Itu keunikan aplikasi berita digital 'Hebatkan Negaraku' yang pertama seumpamanya di dunia kaedah kempen yang dilancarkan BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini, sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Aplikasi yang dilengkapi dengan teknologi augmented reality (AR), hibrid dan hologram itu merevolusikan kaedah kempen pilihan raya di Malaysia yang selama ini kekal dengan cara konvensional.
Antara yang mencuri tumpuan adalah teknologi hologram yang akan menayangkan imej holografik Najib di atas trak khas dan berbicara dengan pengundi 'secara langsung'.
Ciri AR dalam aplikasi itu pula membolehkan poster calon Parlimen BN timbul dalam bentuk tiga dimensi dalam telefon pintar pengguna dan berbicara dengan pengundi, manakala teknologi hibrid akan menampakkan calon BN itu seolah-olah berada di depan pengguna.
Antara contoh aplikasi popular yang menggunakan teknologi AR adalah Pokemon Go yang membolehkan pengguna seolah-olah melihat watak dalam siri kartun itu berdiri di hadapan mereka.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata sebanyak lapan trak seberat 10 tan setiap satu, akan membawa teknologi hologram itu di jelajah kempen PRU-14 BN seluruh negara sepanjang tempoh berkempen itu.
Katanya, ciri AR dan hibrid dalam aplikasi itu pula boleh digunakan pada semua papan iklan dan poster yang memaparkan wajah 222 calon Parlimen BN dengan slogan Hebatkan Negaraku di seluruh negara.
"Aplikasi ini dilancar dan digunakan oleh BN untuk mendekati dan menyampaikan maklumat terkini kepada pengundi, sekali gus menunjukkan BN berada di hadapan dalam mendepani Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dengan era ekonomi digital.
"BN mengambil pendekatan menggunakan teknologi terkini sebagai wadah menyampaikan segala yang sudah dilaksanakan dan akan dilakukan bagi tempoh lima tahun akan datang.
"Teknologi seperti augmented reality banyak digunakan di negara maju sebagai alternatif baharu dalam penyampaian maklumat dan saya berharap aplikasi ini memudahkan pengundi mengenali calon BN di kawasan masing-masing," katanya pada Majlis Pelancaran Aplikasi Digital Kempen BN di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Terdahulu, Tengku Adnan bersama hadiri dan media dipaparkan dengan penggunaan teknologi terbabit yang memaparkan Najib yang juga Pengerusi BN, seolah-olah ada bersama pada majlis terbabit.
Aplikasi Hebatkan Negaraku itu kini boleh dimuat turun di Google Store bagi pengguna Android dan Apps Store untuk pengguna IOS.
Selepas memuat turun aplikasi itu, pengguna akan diberi pilihan untuk memilih kawasan Parlimen masing-masing dan akan mendapatkan maklumat berkaitan calon Bn di kawasan yang dipilih.
Bagi mengaktifkan teknologi augmented reality atau hibrid dalam aplikasi berkenaan, pengguna perlu menghalakan telefon pintar ke arah poster atau papan iklan yang memaparkan mana-mana calon BN dan mereka akan 'muncul' dan menyampaikan mesej tersendiri.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment