Penyandang bantu kempen calon muka baharu

Monday, April 30, 2018

Penyandang bantu kempen calon muka baharu

Penyandang bantu kempen calon muka baharu

ARAU: Calon muka baharu Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji, Afifi Osman, mendapat 'tonik tambahan' apabila penyandang kerusi itu turun padang membantu kempennya.

Afifi, 54, anak tempatan Guar Sanji, bersyukur Jafperi Othman yang sudah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama tiga penggal, sanggup membantu jentera parti walaupun tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, beliau menyanjung tinggi komitmen Jafperi yang menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada parti.

"Bukan mudah untuk seorang penyandang membantu muka baharu, lebih-lebih lagi calon di kawasan dimenanginya sebelum ini.

"Cikgu (panggilan kepada Jafperi) berbeza, beliau dihormati dan disanjung semua pihak tidak mengira parti.

"Beliau sendiri meminta saya memaklumkan jika ada kawasan bermasalah. Hubungi dan beliau akan membantu," katanya ketika ditemui di Jelempok, di sini.

Malah ketika Afifi yang juga bekas Pengurus Pasukan Bola Sepak Perlis berkempen, beliau tidak ketinggalan ditemani Jafperi.

Sementara itu, Jafperi yang juga bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis berkata, beliau mencurahkan segala pengalaman sepanjang menjadi ADUN bagi memastikan kerusi DUN Guar Sanji terus menjadi milik BN.

"Saya berkhidmat di sini selama 15 tahun. Sebagaimana saya dibantu sebelum ini, saya juga perlu membantu supaya beliau (Afifi) memperoleh majoriti selesa pada PRU-14.

"Waktu berkempen adalah tempoh yang singkat. Oleh itu, kita perlu memastikan beliau dapat bertemu semua penduduk di Guar Sanji," katanya.

Mengenai dirinya tidak dicalonkan semula pula, Jafperi berkata, tiada sebab untuk beliau berkecil hati atau merajuk kerana sudah diberi kesempatan itu selama tiga penggal.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment