Jumaeyah sebak bercerita isu air di Selangor
SHAH ALAM: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Jumaeyah Masdi, sebak ketika menceritakan isu gangguan bekalan air yang kerap berlaku di Selangor.
Jumaeyah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Shah Alam pada mulanya berkempen di DUN yang ditandinginya, sebelum singgah di Program Ceramah Isu-Isu Semasa di Seksyen 15 di sini, malam ini serta diberi peluang berucap kira-kira lima minit kepada masyarakat setempat.
Beliau pada mulanya berucap seperti biasa mengenai tawaran BN dalam manifesto 'demi Shah Alam yang lebih baik', namun bertukar nada sebak apabila menyentuh isu air yang terus membelenggu rakyat tanpa kesudahan.
"Fikirlah baik-baik sampai bila kita nak berterusan hadapi isu air ini. Kerap sangat tiada air, kasihanilah kepada mereka yang terpaksa mengangkut air, saya tak sanggup melihat orang tua, wanita dan anak-anak yang berdepan kepayahan ini," katanya.
Jumaeyah berharap pengundi di Parlimen Shah Alam dan DUN Kota Anggerik serta Batu Tiga dapat memberi peluang kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), apatah lagi calon yang ditampilkan adalah muka baharu serta pemimpin tempatan.
Pada PRU-14, BN mempertaruhkan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari untuk menentang penyandang kerusi Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad serta calon PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
Calon yang bertanding DUN Kota Anggerik pula ialah Jumaeyah, Ahmad Dusuki Abd Rani (PAS) dan Mohd Najwan Halimi (PKR).
DUN Batu Tiga pula ditandingi Datuk Ahmad Muaadzam Shah (BN), Abdul Halim Omar (PAS) dan Rodziah Ismail (PKR).
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment