Kampar perlu hospital baharu
KAMPAR: Menyegerakan rancangan pembinaan hospital baharu adalah antara perkara utama yang digariskan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Kampar bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Calon Parlimen Kampar, Datuk Lee Chee Leong, berkata pembinaan hospital baharu itu adalah bagi kemudahan penduduk setempat termasuk mengelak berlaku kesesakan lalu lintas ketika mereka ingin mendapatkan rawatan di hospital sedia ada.
Beliau berkata, ketika menjadi Ahli Parlimen Kampar pada 2008 hingga 2012, Kementerian Kesihatan sudah meluluskan projek itu di atas tapak seluas 40 hektar di Bandar Baru Kampar.
"Hospital sedia ada sudah lama, sekiranya hospital di sini penuh, pesakit perlu mendapatkan rawatan di Hospital Ipoh yang jaraknya agak jauh dari sini," katanya pada sidang media mengenai pengumuman manifesto BN Kampar bertemakan 'Teguh Bersama, Sehati Sejiwa' di sini, hari ini.
Hadir sama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Keranji, Daniel Wa Wai How dan DUN Malim Nawar, Chang Gwo Chyang.
Anak jati Kampar yang juga seorang mualaf yang mengusahakan perniagaan makanan, Fazley Lee, 49, adalah antara ribuan penduduk setempat yang menyambut baik pengumuman itu.
"Hospital Kampar satu-satunya hospital kerajaan yang berada di daerah ini, namun perkhidmatan di situ tidak lagi seperti awal penubuhannya kerana jumlah pesakit kini semakin ramai sehingga rawatan lambat diterima, kadang-kadang perlu tunggu lama terutama di unit kecemasan.
"Ini isu yang kami hadapi kerana bagi penduduk Kampar, hospital dan perkhidmatan kesihatan sangat penting, tak ada hospital lain lagi melainkan yang di atas bukit itu (Jalan Hospital)," katanya ketika ditemui, hari ini.
Mengulas lanjut, Chee Leong yang juga Naib Presiden MCA, berkata segala aku janji yang terkandung dalam manifesto itu bukan janji manis BN tetapi ia akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ini demi kepentingan penduduk setempat.
"Selama beberapa penggal BN menang di Parlimen itu (Kampar), banyak yang sudah kami lakukan dari segi pembangunan dan infrastruktur," katanya.
Justeru, beliau meminta pengundi di Kampar terus memberi sokongan kepada semua calon BN supaya pembangunan di kawasan itu dapat diteruskan untuk kepentingan semua.
Sementara itu, Danial berkata antara aku janji yang akan dilaksanakan untuk masyarakat di DUN Keranji ialah menaik taraf sistem pengairan bagi mengelak berlakunya banjir kilat berikutan hujan lebat.
"Keadaan ini menimbulkan kerisauan penduduk kerana ia mengakibatkan kerosakan pada kereta dan rumah. Banyak kali kenderaan penduduk dimasuki air apabila paras air meningkat dan terpaksa berhenti di kawasan banjir kilat," katanya.
BN Kampar menggariskan tujuh teras utama dalam manifestonya iaitu ekonomi, belia, wanita, warga emas, kemasyarakatan, meningkatkan kehidupan warga Kampar dan pendidikan.
Antara kandungan tujuh teras itu ialah meneruskan pembangunan kampung baharu, kampung tradisional Melayu, perkampungan kaum India, Sikh dan orang Asli serta melaksanakan transformasi urbanisasi; memastikan kekayaan sumber asli digunakan sebaiknya bersama rakyat bagi menggalakkan kemakmuran ekonomi, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat.
Teras lain termasuk meneruskan usaha projek susur keluar Kampar di Lebuhraya Utara Selatan bagi memudahkan penduduk serta merangsang industri pelancongan bagi memacu ekonomi perindustrian dan komersial, menyediakan rumah mampu milik bagi membolehkan golongan muda menzahirkan impian memiliki rumah sendiri menerusi program 'Rumah Impianku'.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment