SPR diberi tempoh hingga Rabu perbetul insiden Dun Rantau
KOTA DAMANSARA - Calon Pakatan Harapan (Harapan) bagi kerusi Dun Rantau, Dr Streram Sinnasamy membuat dua laporan polis selain menghantar surat tuntutan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung insiden kekecohan sewaktu hari penamaan calon, Sabtu lalu.
Menerusi surat berkenaan, Streram mendakwa tindakan SPR yang tidak membenarkannya masuk bagi menyerahkan kertas penamaan calon adalah tidak wajar dan sehingga menyebabkan dia gagal mendaftar sebagai calon.
"Saya kecewa apabila hak perlembagaan saya untuk bertanding sebagai calon yang sah dengan memenuhi syarat-syarat ditetapkan, telah dinafikan dengan jahat.
"Lebih malang apabila hak rakyat khususnya pengundi Dun Rantau untuk memilih telah dirampas secara salah oleh pegawai SPR apabila kehilangan calon yang layak," katanya, hari ini.
Justeru, Streram menerusi surat tuntutan kepada SPR telah memberi tempoh sehingga Rabu ini bagi menuntut SPR memperbetulkan kesilapan insiden berkenaan dan tidak teragak -agak untuk mengambil tindakan memfailkan saman ke atas pegawai bertugas serta suruhanjaya itu.
Sementara itu, peguamnya, Mohd Haniff Khatri Abdulla berkata, susulan insiden berkenaan, Streram telah membuat dua laporan polis terhadap pegawai pengurus pilihan raya dan SPR mengikut Seksyen 124B dan 124C Kanun Keseksaan kerana mengganggu proses demokrasi parlimen dengan tidak membenarkannya menjadi calon.
Mohd Haniff turut menegaskan, justifikasi Streram tidak dibenarkan masuk kerana tidak memakai pas SPR tidak relevan kerana pas berkenaan bukan mandatori sebaliknya hanya prosedur.
"Tidak memakai pas SPR hanya keperluan prosedur, prosedur tidak boleh melangkaui undang-undang. Itu tidak membatalkan kelayakan seseorang daripada bertanding.
"Malah dia memenuhi semua syarat sebagai calon, lengkap membayar deposit pada Rabu sebelum hari penamaan serta membawa borang-borang yang diperlukan," katanya.
Terdahulu, kekecohan berlaku pada hari penamaan calon Dun Rantau dan Parlimen Rembau apabila Streram gagal menyerahkan kertas penamaan calon setelah dihalang daripada memasuki pusat penamaan seterusnya gagal menjadi calon bagi Dun Rantau.
Rentetan insiden itu menyaksikan calon BN, Datuk Seri Mohammad Hasan kemudiannya diumumkan menang tanpa bertanding.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment