Pengundi muda teruja mengundi kali pertama
KUALA SELANGOR: Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin hampir dan program kempen semakin padat dengan pelbagai kegiatan bagi mengenal pemimpin yang bakal menerajui rakyat.
Begitu juga dengan lebih 200 pengundi kali pertama yang dikumpulkan Pergerakan Puteri UMNO Kuala Selangor pada malam Aspirasi Wanita Muda bertempat di Kompleks UMNO Kuala Selangor, malam tadi.
Pengundi kali pertama di Pusat Daerah Mengundi Bukit Cherakah, Nur Masitah Nordin, 25, berkata, beliau berbangga kerana bakal menunaikan tanggungjawab pada PRU-14 tahun ini.
"Saya mendaftar sebagai pengundi ketika berusia 21 tahun dan syukur kali ini bakal mengundi di tempat kelahiran saya.
"Tiada masalah bagi saya keluar mengundi untuk menentukan kerajaan yang bakal memimpin negeri dan negara," katanya yang juga jurutera di sebuah syarikat di Petaling Jaya.
Pembantu pemasaran, Atiyah Rauyan, 25, berkata, pengundi muda khususnya yang mengundi buat pertama kali mempunyai peranan besar dalam PRU kali ini.
"Saya baru mendaftar mengundi tahun lalu dan tahun ini saya bakal menjadi pengundi di Pusat Daerah Mengundi SRA Assam Jawa," katanya.
Pada majlis berkenaan pengundi muda dan kali pertama berpeluang mengenali calon yang bertanding di Parlimen Kuala Selangor iaitu Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dengan lebih dekat.
Turut sama dalam program itu adalah calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Malawati, Jakiran Jacomah; calon DUN IJok, K Parthiban dan calon DUN Jeram, Zahar Azlan Arifin.
Sementara itu, Irmohizam berkata menjadi harapan calon bertanding untuk memperjuangkan nasib dan kepentingan wanita muda di Kuala Selangor apabila mereka menang kelak kerana masa depan negara terletak di tangan wanita muda termasuk di Kuala Selangor.
Beliau berkata, visi dan misi calon Barisan Nasional (BN) adalah untuk memperjuangkan isu penjagaan kesihatan yang wajib diberikan kepada generasi muda.
"Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam kini sedang dalam pembinaan di Parlimen Kuala Selangor.
"Soal memartabatkan orang muda, pekerjaan, perumahan, semua ini hanya boleh dilakukan jika BN kembali menerajui negeri ini.
"Kami juga mahu menubuhkan kolej komuniti di setiap DUN di Kuala Selangor selain rancangan membina sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Ijok dan sebagai pengundi kali pertama, buktikan masa depan Kuala Selangor terletak pada tangan wanita muda," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment