Polis kesan saksi perbicaraan kes culik
KUALA TERENGGANU - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dikehendaki menjadi saksi perbicaraan kes culik dan melarikan orang serta memperdaya bagi tujuan persundalan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Mohd Murad Muda, 31, atau dikenali sebagai Mamat dikehendaki bagi membantu memberi keterangan di mahkamah pada 6 hingga 8 Mei depan berhubung kes yang disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan salah serta Seksyen 372 (1)(b) Kanun Keseksaan kerana menyalahguna mana-mana orang bagi tujuan persundalan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, pihaknya gagal mengesan lelaki terbabit berdasarkan alamat terakhirnya di Kampung Sungai Rengas, di sini.
"Kita berharap lelaki terbabit segera tampil bagi menjadi saksi untuk perbicaraan kes selama tiga hari bermula 6 Mei depan dan ahli keluarga atau mana-mana individu yang mengenali lelaki terbabit diharapkan boleh membantu menyalurkan maklumat kepada polis.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Risikan Operasi, Inspektor Nur Aizat Ashari di talian 017-9273393 bagi membantu siasatan," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment