'Juruterbang pun ada keluarga'

Monday, April 30, 2018

'Juruterbang pun ada keluarga'

'Juruterbang pun ada keluarga'

KUALA LUMPUR: Faktor keselamatan adalah standard pematuhan yang dititikberatkan oleh setiap syarikat penerbangan bagi memastikan setiap pesawat berada dalam keadaan baik sebelum berlepas.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Setiawangsa, Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique, menegaskan mana-mana pesawat tidak akan dibenarkan berlepas jika berlaku masalah teknikal.

"Saya tidak dapat bercakap dari segi teknikal tetapi kalau dari segi persediaan, memang juruterbang akan tentukan sama ada pesawat bersedia untuk berlepas atau sebaliknya.

"Mereka sendiri akan mengelilingi dan meneliti pesawat bagi memastikan pesawat seratus-peratus selamat sebelum 'take off'.

"Kita kena ingat, juruterbang, pembantu juruterbang pun ada keluarga dan soal keselamatan ini adalah isu yang serius," katanya selepas merasmikan manifesto Jiwa Setiawangsa di Dewan Nuri AU3, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kemungkinan wujud unsur sabotaj terhadap pesawat yang sepatutnya beliau gunakan untuk penerbangan ke Langkawi pada 27 April lalu.

Zulhasnan pernah menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada tahun 1973 dan bertugas sebagai juruterbang jet pejuang serta jurulatih penerbangan bertauliah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tiada keperluan baginya untuk mengisytiharkan aset seperti yang disarankan oleh calon PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Saya dan pemimpin BN lain hanya ikut syarat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Tiada syarat yang digariskan SPR yang menyatakan kami perlu isytihar harta, malah setiap calon dipantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Untuk apa saya sahut cabaran dia?" soalnya.

Semalam, Nik Nazmi memuat naik kenyataan dalam Facebook menggesa Zulhasnan untuk turut membuat pengisytiharan harta sebagai satu langkah bagi memulakan budaya baru politik negara.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment