Semangat Wonder Woman

Monday, April 30, 2018

Semangat Wonder Woman

Semangat Wonder Woman

MARANG: Beliau layak digelar 'Wonder Woman' atas semangatnya yang tidak mengenal erti lelah memikul dua tanggungjawab besar yang diamanahkan kepadanya.

Mana tidaknya, walaupun dihambat kesibukan berkempen hingga ke awal pagi sejak diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung, Toh Puan Zaitun Mat Amin tetap tidak melupakan tanggungjawabnya menguruskan keluarga.

Menjadi rutin seharian Zaitun atau lebih mesra disapa Kak Tun, menjengah dapur untuk menyiapkan sendiri sarapan untuk keluarganya selepas selesai menunaikan solat Subuh.

"Saya memang suka memasak, bukan hanya untuk keluarga, malah untuk tetamu yang boleh dikatakan setiap hari berkunjung ke kediaman saya iaitu sejak suami (Datuk Muda Mamat) menjadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) lagi.

"Selesai memasak, saya turun untuk mengemas rumah dan menguruskan hal berkaitan keluarga sebelum keluar pula berkempen dan bertanyakan masalah kepada masyarakat di Bukit Payung.

"Biasanya, saya pulang ke rumah awal pagi iaitu sekitar jam 3 atau 4 pagi dan kemudian tidur dalam masa cuma sejam dua.

"Walaupun boleh dikatakan teramat sibuk, tapi saya tidaklah terasa terlalu kepenatan, lebih-lebih lagi memang saya suka bertemu dan berbakti kepada masyarakat, bukan baru sekarang tetapi sejak dulu lagi melalui kegiatan di dalam pelbagai NGO (badan bukan kerajaan)," katanya kepada NSTP ketika ditemui di rumahnya di Binjai Rendah di sini, hari ini.

Karier politik Zaitun mempunyai sedikit persamaan dengan bekas wanita pertama Amerika Syarikat, Hillary Clinton dari segi mengikut jejak langkah suami berkecimpung dalam politik.

Suaminya, Datuk Muda Mamat pernah menjadi EXCO kerajaan negeri dan ADUN Binjai selama empat penggal sejak 1982 hingga 1999.

"Politik bukanlah bidang baru bagi saya dan ketika suami menjadi EXCO dulu banyak juga saya bantu untuk memudahkan kerjanya.

"Sekarang tiba gilirannya pula untuk membantu saya serta memberi nasihat dalam bidang politik selain sering mengingatkan saya untuk sentiasa ikhlas membantu masyarakat," kata ibu kepada enam anak berusia 22 hingga 39 tahun itu.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei ini, beliau berazam membalas kepercayaan pucuk pimpinan parti terhadap dengan menawan semula kerusi DUN Bukit Payung sekali gus membolehkan rakyat di kawasan itu menikmati pelbagai manfaat yang ditawarkan BN.

"Tiada apa yang dibawakan pembangkang yang memenangi DUN Bukit Payung sejak dua penggal lalu.

"Seandainya diberi mandat sebagai wakil rakyat, saya akan pastikan pelaksanaan usaha tambahan daripada pembangunan sedia ada.

"Moga kali ini rakyat celik dan lebih bijak dalam menilai seterusnya memilih BN untuk mengemudi DUN Bukit Payung," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment