Bekas wartawan galas misi BN
SEREMBAN: Diberi kepercayaan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di N23 Mambau, Dafney Ho, 40, mempunyai manifesto sendiri bagi meyakinkan pengundi memilih BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Bekas wartawan Nanyang Siang Pau itu berkata, manifesto khas bagi penduduk Mambau itu mengandungi enam teras utama iaitu ekonomi, wanita, sosial, belia, pendidikan dan keselamatan.
Beliau yang juga Ketua Penerangan MCA Negeri Sembilan berkata, berpandukan pengalaman lebih tiga tahun dalam bidang kewartawanan dan sering membuat liputan di kawasan itu, manifesto berkenaan menepati keperluan pengundi setempat.
"Kerjaya dan pengalaman dalam bidang kewartawanan sebelum ini memudahkan saya mendekati pengundi bagi menyampaikan manifesto kepada mereka.
"Walaupun kali pertama dipilih sebagai calon BN, saya sudah mendekati lebih 40 peratus pengundi kawasan ini dan yakin menerusi usaha keras serta kekuatan jentera parti, saya akan dapat meyakinkan pengundi untuk memilih BN," katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambau bakal menyaksikan saingan tiga penjuru apabila Ho ditentang penyandang dari PKR, Yap Yew Weng dan T Parimala Devi dari PAP.
Ho berkata, pihaknya menyedari pengundi Mambau merangkumi pelbagai kaum namun yakin pendekatan strategik menerusi tawaran diberikan dapat menarik minat ramai.
"Saya akan menggunakan pendekatan kempen bersih dan tidak memburukkan lawan kerana kawasan itu ramai pengundi berusia lebih 50 tahun," katanya.
Sementara itu, calon BN termuda, Mak Kah Keong, 33, yang bertanding di kerusi N21 Bukit Kepayang, menyifatkan pemilihannya sebagai cabaran apabila ditentang calon PKR, Tan Lee Koon.
Penasihat undang-undang Biro Aduan Nasional GERAKAN itu yang turut aktif sebagai Askar Wataniah, akan mengadakan pelbagai program bercorak pendidikan dan ilmiah di kawasan ditandingi.
"Sebagai orang muda, fokus saya untuk menerangkan dasar kerajaan negeri yang memberi faedah secara langsung kepada golongan muda iaitu usaha mewujudkan lembah ilmu yang dicetuskan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan.
"Saya sudah memulakan usaha mendekati pengundi dan akan menggunakan sebaik mungkin tempoh kempen selama 11 hari untuk memperkenalkan diri.
"Saya yakin hasil bimbingan pemimpin berpengalaman dalam BN akan dapat meyakinkan pengundi dan membantu BN merampas kerusi Bukit Kepayang," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment