Hab Pendidikan Sandakan tingkat modal insan
SANDAKAN: Hab pendidikan Sandakan yang terletak di Sungai Batang di sini, bukan saja membuka peluang luas kepada pelajar khususnya dari pantai timur Sabah melanjutkan pelajaran dan pengajian, malah membantu melahirkan modal insan berkualiti dari luar bandar dan pedalaman Sabah.
Sejajar fungsinya sebagai pusat pembangunan modal insan, hab pendidikan yang dibangunkan secara berperingkat sejak 2008 hasil idea Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman itu kini menempatkan dua institusi pengajian tinggi dan sekolah berasrama penuh. Ia kini menempatkan Fakulti Pertanian Lestari, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Politeknik dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Fuad Stephens di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang siap pada Januari 2013 antara institusi yang penubuhannya selaras hasrat kerajaan negeri bagi menyediakan peluang kepada pelajar luar bandar dan pedalaman memasuki sekolah berasrama penuh.
Pelajar berjaya ke menara gading
Terletak dalam kawasan seluas 26.6 hektar, MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens adalah antara yang terbesar di negara ini dengan mempunyai 825 pelajar yang mengambil aliran sains tulen, sebahagian besar iaitu 98 peratus pelajar berasal dari Sabah dan 60 peratus adalah dari keluarga berpendapatan rendah atau B40.
Pengetuanya, Mohd Rizalmi Dahaman, berkata sejak empat tahun lalu, sekurang-kurangnya 600 pelajar sekolah itu melanjutkan pengajian ke menara gading di dalam dan luar negara.
"Sejak MRSM dibuka di sini, penduduk berpeluang menghantar anak mereka ke sekolah berasrama penuh. Seramai 70 peratus pelajar yang menuntut di sini adalah dari daerah Sandakan, manakala selebihnya dari kawasan berhampiran seperti Tawau, Lahad Datu, Ranau, Keningau, Kudat dan Kota Kinabalu.
"MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens adalah MRSM ketiga daripada empat maktab di Sabah," katanya.
Mohd Rizalmi berkata, pencapaian pelajar sekolah itu dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meningkat setiap tahun. Pada 2014 berada di tangga kesembilan daripada 46 MRSM di Malaysia, manakala pada 2015 mendapat tempat pertama di Sabah dan tempat pertama di Borneo pada 2016.
Dua beradik kembar, Lenley Gary Ambross, dan adiknya, Lestley Surf, masing-masing berusia 16 tahun dari Beluran, antara yang mendapat manfaat apabila berpeluang masuk ke maktab berkenaan sejak tingkatan satu.
Lenley berkata, selain dekat dengan keluarga dengan jarak kira-kira 80 kilometer (km) ke kampungnya, mereka bertuah kerana berpeluang belajar di sekolah asrama penuh itu yang menawarkan pelbagai bantuan dan biasiswa.
"Kami dari keluarga kurang berkemampuan. Bapa saya cuma juru elektrik manakala ibu suri rumah. Peluang belajar di sekolah yang dekat dengan keluarga membantu mengurangkan kos ibu bapa saya," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment