Tak bincang nama calon menteri Kabinet DAP - Mukhriz
SIK: Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan tiada sebarang rundingan dibuat pakatan pembangkang mengenai calon menteri Kabinet daripada DAP, seperti diumumkan parti itu sebelum ini.
Malah, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengakui masih terlalu awal untuk membincangkan mengenai calon menteri kabinet sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dimenangi.
"Itu tak rasmi dan belum dibincangkan di peringkat majlis presiden....masih awal untuk kita perhalusi sebuah jemaah menteri apabila kita belum menang PRU-14," katanya selepas menghadiri ceramah di Padang Awam Batu 5, di sini, malam tadi.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengumumkan nama Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, sebagai calon menteri kabinet jika mereka menang di kerusi masing-masing pada PRU-14.
Pengumuman itu disifatkan menampilkan belang sebenar DAP yang mendominasi pakatan pembangkang.
Terdahulu, ketika menyampaikan ceramah, Mukhriz mengulangi dakwaan sabotaj dalam proses penamaan calon PRU-14 Sabtu lalu, sehingga menyaksikan enam calon pakatan pembangkang yang menggunakan logo PKR gagal bertanding.
Malah, beliau turut mengingatkan penjawat awan khususnya yang didakwa 'ditarik hidung' bahawa tindakan akan diambil sekiranya pakatan pembangkang menang pada PRU-14.
"Ketua jabatan yang celaru dan kena tarik hidung tu, jangan suka-suka nak salah guna kuasa...kami akan ambil tindakan jika kami menang PRU-14 nanti," katanya.
Mengenai bentuk tindakan akan diambil, Mukhriz bagaimanapun berkata "kita akan lihat apabila tiba masanya nanti."
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment