Bos Gaurus benam Kuala Lumpur
IPOH - Perak meraih tiga mata berharga apabila menewaskan Kuala Lumpur 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.
Kedua-dua pasukan bermula baik dengan saling berbalas serangan bagi membuka jaringan.
Pelawat hampir membuka jaringan menerusi sepakan percuma pemain import, Paulo Josue pada minit ke-16.
Perak akhirnya meledak gol pembukaan hasil sepakan penalti oleh Leandro Dos Santos pada minit ke-26.
Gol itu mula menyemarakkan semangat kesebelasan Perak untuk terus mengasak ke gawang pelawat namun tiada jaringan tambahan dihasilkan tamat babak pertama.
Perak dilihat menggandakan asakan pada babak kedua dengan menyaksikan beberapa peluang terhidang gagal disempurnakan jentera serangan pasukan.
Bagaimanapun, pemain import Wander Luiz berjaya menyambar bola muntah daripada tangkapan penjaga gol Kuala Lumpur sebelum menyungkit masuk gol kedua Perak.
Minit ke-72 pula menyaksikan giliran penyerang import, Gilmar da Silva pula mencatat nama selaku penjaring apabila merembat masuk gol ketiga tuan rumah.
Ketinggalan 0-3, bagaimanapun menyaksikan Kuala Lumpur masih melancarkan serangan ke gawang Perak dalam usaha meledak gol sulung.
Bagaimanapun, benteng Perak dilihat terus kental bertahan bagi mengekang asakan-asakan skuad The City Boys itu sehingga ke wisel penamat.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment