Kakitangan MPS difitnah ambil rasuah dalam FB

Thursday, April 5, 2018

Kakitangan MPS difitnah ambil rasuah dalam FB

Kakitangan MPS difitnah ambil rasuah dalam FB

SEGAMAT: Empat anggota dan pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Segamat (MPS) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, di sini, hari ini, selepas difitnah mengambil rasuah menerusi laman sosial Facebook (FB).

Pegawai Penguatkuasa MPS, Jaini Kardi, berkata dakwaan mereka mengambil wang dan merampas pelbagai barangan peniaga buah di Pasar Borong Taman Yayasan, sepertimana tular di FB adalah tidak benar sama sekali.

Menurutnya, ketika menjalankan pemeriksaan harian kira-kira jam 11.30 pagi tadi bersama-sama tiga anggota penguatkuasa MPS, mereka terserempak empat peniaga menjual buah-buahan potong berniaga di satu sudut pasar berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mereka mendapati lesen perniagaan kesemua empat peniaga itu tamat tempoh sejak beberapa bulan lalu, namun hanya memberikan amaran lisan supaya mereka (peniaga) memperbaharui lesen dengan segera.

"Kami tidak menyita apa-apa barang, sebaliknya terus beredar selepas memberikan amaran itu. Malangnya, ketika melayari FB beberapa minit kemudian kami dapati seorang pemegang akaun bernama Amirulfitri Abd Rahman memuat naik status mendakwa anggota penguatkuasa MPS menerima wang selain merampas pelbagai barang milik peniaga buah-buahan potong di pasar borong itu.

"Kecewa dengan dakwaan itu, kami tampil membuat laporan polis di IPD Segamat kira-kira jam 3.30 petang untuk membersihkan nama MPS dan mahu polis menjalankan siasatan," katanya ketika ditemui di perkarangan IPD Segamat, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat ketika ditemui mengesahkan laporan polis itu namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment