Badang mulakan kutipan emas kontinjen negara

Thursday, April 5, 2018

Badang mulakan kutipan emas kontinjen negara

Badang mulakan kutipan emas kontinjen negara

GOLD COAST, Australia: Badang negara berjaya meniupkan semangat kontinjen pada hari pertama pertandingan apabila meraih dua pingat emas dalam acara angkat berat pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018, di sini hari ini.

Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad mencipta sejarah apabila meraih emas pertama dalam kategori 56kg dengan jumlah angkatan 261kg.

Lebih manis lagi apabila dia berjaya memecah rekod temasya dengan angkatan 117kg dalam acara snatch, sekali gus mengatasi rekod bekas atlet negara, Amirul Hamizan Ibrahim yang melakukan angkatan 116kg di New Delhi 2010.

Bagi acara clean & jerk, badang berusia 24 tahun dari Rompin, Pahang itu melakukan angkatan 144kg.

Seorang lagi badang negara, Aznil Bidin menambah emas kedua dalam kategori 62kg selepas membuat angkatan keseluruhan 288kg, masing-masing 126kg bagi acara snatch manakala 162kg bagi acara clean & jerk.

Di Velodrom Anna Maeres, skuad berbasikal trek negara gagal menyerlah apabila terkandas pada pusingan kelayakan manakala atlet berbasikal para Afiq Afify Rizan sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat acara tandem (B) 1km ujian masa.

Pasukan pecut lelaki negara yang pada awalnya berpeluang merebut pingat gangsa bagaimanapun terpaksa akur dengan catatan masa yang dibuat oleh tuan rumah selepas perlumbaan semula yang menyebabkan pelumba negara tersingkir daripada pusingan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Khabar duka juga diperoleh dari kem berbasikal negara apabila jurulatih kebangsaan John Beasley memaklumkan Azizulhasni Awang hanya akan beraksi dalam acara keirin berikutan keadaan kesihatan yang kurang memuaskan.

Menurutnya, bekas juara keirin dunia itu terpaksa menarik diri daripada acara pecut dan hanya turun beraksi dalam acara keirin serta berharap pelumba yang digelar 'The Pocket Rocketman' itu mampu melakukan sesuatu esok.

Kem skuasy yang diketuai Datuk Nicol David pula menyaksikan enam daripada tujuh pemain yang turun beraksi hari ini mara ke peringkat seterusnya.

Selain Nicol, dua lagi pemain perseorangan wanita S Sivasangari dan Aifa Azman turut mara manakala dalam acara perseorangan lelaki hanya Ng Eain Yow terkandas di pusingan pertama ekoran kekejangan otot ketika set penentuan menentang Rex Hedrick dari Australia.

Skuad badminton negara diketuai Datuk Lee Chong Wei membuka gelanggang dengan kemenangan mudah 5-0 ke atas Ghana dalam acara berpasukan campuran.

Esok, atlet Malaysia akan meneruskan pemburuan pingat dan tumpuan pastinya terarah kepada Azizulhasni serta seorang lagi badang negara, Erry Hidayat dalam kategori 69kg. - BERNAMA



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment