Ahli parti langgar undang-undang tidak kebal hukuman

Wednesday, April 4, 2018

Ahli parti langgar undang-undang tidak kebal hukuman

Ahli parti langgar undang-undang tidak kebal hukuman

KUALA LUMPUR: Mana-mana ahli politik yang melanggar peraturan dan undang-undang parti tidak akan terlepas menerima hukuman jika terbukti bersalah, tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata demikian berhubung penahanan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar, berikutan penyalahgunaan dadah, kelmarin.

Rizalman ditahan di sebuah kelab malam di Jalan Imbi, Isnin lalu dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Rizalman perlu diberi ruang untuk membela diri sebelum sebarang tindakan diputuskan oleh parti, yang merangkumi hasil siasatan oleh polis.

"Buat masa ini, kita berikan dia ruang untuk membela diri dan polis untuk melengkapkan siasatan. Hanya dengan itu, kita akan nilai semula kedudukan beliau dalam parti.

"Namun, apa yang kita mahu nyatakan ialah bahawa UMNO memang tidak akan berkompromi dengan mana-mana ahli yang melanggar undang-undang termasuk peraturan parti," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang (PPT) 2018 di Auditorium Wisma Pertahanan, Mindef, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Ditanya sama ada penahanan Rizalman menjejaskan peluangnya untuk bertanding dalam kawasan parlimen Bandar Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Hishammuddin berkata semuanya bergantung kepada hasil siasatan.

Katanya, mana-mana pihak diharap tidak membuat tuduhan atau menghukum secara melulu sebelum siasatan terhadap Rizalman dapat dilengkapkan.

"Kita harap, jangan ada pihak cuba menangguk di air keruh dengan menjatuhkan hukuman kepada beliau terutama dengan menggunakan media sosial hari ini," katanya.

Mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai pemendekan kenaikan pangkat anggota ATM mengikut 'time-based' daripada 13 tahun kepada 10 tahun berkuatkuasa Januari lalu, beliau berkata, ia salah salah satu berita gembira untuk warga ATM.

"Pengumuman Perdana Menteri itu adalah berita gembira kepada 8,461 warga ATM yang akan mendapat manfaat daripadanya

"Saya bagi pihak warga ATM mengucapkan setinggi terima kasih kepada Perdana Menteri kita atas inisiatif diumumkan beliau," katanya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 31 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 30 warga awam ATM menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 berikutan khidmat cemerlang sepanjang perkhidmatan bagi tahun 2017.

Dalam majlis itu juga, seramai 20 anak warga Kementerian Pertahanan yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu turut menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan.

Penerimaan anugerah itu membolehkan mereka menerima bantuan pendidikan khas RM80 setiap bulan selama setahun bagi UPSR, RM100 bagi PT3 dan RM150 bagi SPM termasuk sijil.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment