40,000 dijangka hadir pelancaran Manifesto BN

Wednesday, April 4, 2018

40,000 dijangka hadir pelancaran Manifesto BN

40,000 dijangka hadir pelancaran Manifesto BN

KUALA LUMPUR: Seramai 40,000 ahli Barisan Nasional (BN) dari seluruh negara dijangka hadir pada pengumuman Manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Axiata Arena, Bukit Jalil, tepat jam 8 malam, Sabtu ini.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pengumuman manifesto itu yang akan dibuat oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak turut disiarkan secara langsung di televisyen.

Beliau berkata, pihaknya amat berpuas hati kerana persiapan untuk majlis itu berjalan lancar dan kini mencapai 80 peratus.

"Lawatan hari ini juga meninjau kedudukan pemerhati dari seluruh negara di dalam stadium.

"Seramai 9,000 orang akan berada di dalam stadium manakala selebihnya di luar dan kita akan sediakan skrin LCD besar untuk melihat pelancaran dalam suasana selesa dan santai," katanya pada sidang media selepas meninjau lebih sejam di tapak lokasi pelancaran di Bukit Jalil hari ini.

Terdahulu, Ab Rauf mempengerusikan Mesyuarat Teknikal yang turut dihadiri semua wakil perhubungan UMNO negeri selain agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA).

Menurut Ab Rauf, pihak urus setia juga menyediakan makanan percuma bagi semua peserta majlis selain jaminan aspek keselamatan dengan lebih 400 anggota polis bertugas sepanjang majlis serta dibantu RELA.

"Daripada taklimat tadi pihak polis memberitahu akan menambah beberapa kaedah keselamatan bagi memastikan peserta yang masuk ke dalam dewan ini adalah selamat dan terkawal," katanya.

Beliau berkata, semua presiden komponen BN termasuk dari Sabah dan Sarawak akan hadir untuk bersama-sama Perdana Menteri melancarkan manifesto.

"Saya mengharapkan pada malam itu satu semangat untuk memenangi PRU -14 akan disuntik kepada semua peserta.

"Ia (pelancaran manifesto) juga bagi memastikan daya juang untuk menang lebih besar daripada PRU ke-13.

"Jadi kita menunggu amanat yang akan disampaikan oleh Presiden bagi memastikan semua jentera yang hadir menanam semangat dan daya juang dalam hati masing-masing untuk memenangi PRU ke-14, dan dibawa kepada jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi," katanya.

Beliau berkata, tema pakaian dipilih bagi semua peserta adalah warna rasmi BN iaitu biru.

Pada PRU ke-13, Najib melancarkan manifesto BN mengandungi 17 janji bertemakan 'Menepati Janj Membawa Harapan' di Stadium Putra Bukit Jalil pada 6 April 2013 iaitu 28 hari sebelum hari mengundi.

Bagaimanapun, sehingga kini teka-teki mengenai tarikh pilihan raya belum terungkai.

Dengan pelancaran manifesto itu sekali gus memberi gambaran bahawa kemungkinan besar PRU ke-14 akan diadakan seawal hujung bulan ini atau awal Mei depan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment