Badan pengurusan kondominium disyaki seleweng RM35,000
PORT DICKSON - Sebuah badan pengurusan kondominium terkenal di Batu 7 di sini, disyaki melakukan penyelewengan wang yang dianggarkan sebanyak RM35,000.
Perbuatan itu terbongkar selepas Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan Bahagian Perkhidmatan Perbandaran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melakukan serbuan pemeriksaan terhadap kondominium tersebut, hari ini.
Yang Dipertua MPPD, Zamri Mat Kasim berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan dokumen selepas menerima aduan daripada pengadu yang mengesyaki wujud unsur penyelewengan di bahagian pengurusan kondominium berkenaan.
Katanya, pelbagai aduan penduduk dari segi salah laku pengurusan dan penyelenggaraan terhadap skim perumahan tersebut yang diterima sejak Julai 2016.
"Melalui Ops Akta 757 yang dilaksanakan terhadap pengurusan dan penyengaraan ahli jawatankuasa perbadanan pengurusan ini, kita syaki terdapat unsur-unsur penyelewengan dengan anggaran RM35,000.
"Siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan pihak kita masih menjalankan semakan dokumen bersama KPKT untuk mendapatkan maklumat lebih lengkap.
"Hasil serbuan semalam, kita merampas beberap dokumen seperti penyata bank, buku cek, invois, resit, penyata kewangan terkini, minit mesyuarat dan lain-lain berkaitan," katanya pada sidang media tadi.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pesuruhjaya Banggunan MPPD, Sr Jayanthi Kupusamy.
Tambahnya, sekiranya didapati bersalah, pihaknya akan melaporkan kepada polis supaya tindakan boleh diambil di bawah Kanun Keseksaan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment