Transformasi hebat pengajian tinggi

Saturday, March 24, 2018

Transformasi hebat pengajian tinggi

Transformasi hebat pengajian tinggi

NILAI â€" Kementerian Pendidikan komited dalam memacu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), dalam usaha untuk mereka bentuk semula (redesigning) pengajian tinggi negara agar relevan dengan perubahan semasa.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan dan Kolej Komuniti, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz berkata, pengajian tinggi di Malaysia telah mengalami transformasi yang hebat, sehingga menerima pengiktirafan  daripada pelbagai agensi seluruh dunia.

Katanya, baru-baru ini, Kementerian Pengajian Tinggi menerima pengiktirafan, Global Lead of Tertiary Education, The World Bank ke atas sistem pendidikan tinggi negara dan The Most Innovative Ministry.

“Pengiktirafan yang diterima ini membuktikan bahawa sistem pengajian tinggi negara adalah yang terbaik  di dunia, selain merupakan antara kementerian yang penuh inovasi.

“Ramai modal insan yang cemerlang dan berkualiti telah dilahirkan oleh institut pengajian dalam negara, sama ada dalam ruang akademik mahupun berkemahiran, yang sesuai dengan perubahan semasa serta relevan dengan kehendak industri.

“Misalnya Politeknik dan Kolej Komuniti kita, mempunyai kadar kebolehpasaran yang sangat tinggi hampir 100 peratus, dan ini membuktikan bahawa lepasan pelajar haluan berkemahiran juga sangat diperlukan dalam negara,” katanya.

Tambahnya, hasrat kerajaan yang mahu menggantikan pekerja asing mahir dengan pekerja tempatan mampu dilaksanakan tidak lama lagi, memandangkan banyak institut kemahiran dalam negara kini melahirkan lepasan graduan yang berkualiti tinggi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2018 di Politeknik Nilai, yang disempurnakan oleh Adun Labu, Datuk Hasim Rusdi, semalam.

Hadir sama, Pengarah Politeknik Nilai, Lt Kol Bersekutu (PA), Nazri Idris .  

KPTN kali ke-12 ini berlangsung serentak di seluruh Malaysia, dan dijangka lebih 400,000 pengunjung hadir ke karnival ini di seluruh negara.

Sementara itu, KPTN di Politeknik Nilai berlangsung dengan sempurna, apabila dimeriahkan dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung untuk satu hari semalam, dan dijangka bilangan pengunjung akan bertambah pada hari terakhir hari ini.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment