Tetap berdegil nak ceroboh

Wednesday, March 21, 2018

Tetap berdegil nak ceroboh

Tetap berdegil nak ceroboh

KEMAMAN - Meskipun sudah banyak bot rakan senegara mereka ditahan gara-gara menangkap ikan secara haram di negara ini, namun masih ada nelayan Vietnam yang bersikap keras kepala dengan terus menceroboh perairan Malaysia.

Namun, sikap ‘hati batu’ itu membawa padah apabila seramai enam awak-awak dan tekong warga Vietnam ditahan ketika sedang menangkap ikan kira-kira 75 batu nautika timur dari Kuala Kemaman lebih kurang jam 2 petang tadi.

Gerak geri mencurigakan bot yang dinaiki kesemua nelayan yang berusia antara 16 hingga 55 tahun itu dikesan sebuah kapal ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia  (Maritim Malaysia) yang sedang melakukan rondaan Operasi Perkasa Timur.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Wilayah Timur, Kepten Maritim V Pannir Selvan Veloo berkata, semasa ditahan bot nelayan asing tersebut yang bernombor pendaftaran BD 30459 TS didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan bot.

Kata beliau, bot terbabit juga didapati tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di perairan Malaysia.

“Pemeriksaan menyeluruh juga mendapati kesemua awak-awak dan tekong gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Berikutan itu kesemua enam awak-awak termasuk tekong ditahan bersama bot mereka dan dibawa masuk ke jeti Pangkalan Maritim Kemaman,” katanya pada sidang media petang tadi.

Katanya, dengan penahan itu pihaknya turut merampas hasil laut sebanyak 100 kilogram.

Pannir memberitahu, bot dan hasil laut itu disita dan jika didapati bersalah bot akan dilucut hak seterusnya akan dimusnahkan.

Menurut beliau, kesemua nelayan itu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia.

Beliau berkata, Maritim Malaysia Wilayah Timur akan terus menggiatkan operasi membasmi nelayan asing bagi memastikan hasil laut negara kita tidak sewenang-wenangnya dilarikan oleh nelayan asing.

Sehubungan itu, beliau juga menyeru komuniti maritim terutamanya nelayan untuk menjadi mata dan telinga Maritim Malaysia dan  menyalurkan maklumat berkaitan pencerobohan nelayan asing kepada Maritim Malaysia dengan kadar segera.

Sebarang aduan berkaitan pelanggaran undang-undang boleh dibuat melalui talian 09-5717345, MERS 999 atau hadir di mana-mana pejabat Maritim Malaysia yang berdekatan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment