Saran masjid sedia peti simpanan barang
WAKAF TEMBESU - Semua masjid di negeri ini disarankan untuk menyediakan peti simpanan barang bagi mengekang jenayah pecah kereta dan curi.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, dengan adanya tempat khusus itu membolehkan jemaah menyimpan barangan mereka dengan selamat tanpa rasa bimbang.
Jelasnya lagi, perkhidmatan sedemikian telah diwujudkan oleh kebanyakan masjid-masjid di bandar besar di negara ini.
"Tidak dapat dinafikan ada jemaah yang meninggalkan barangan mereka di dalam kereta kerana beranggapan ia lebih selamat berbanding membawa masuk ke dalam masjid dan menjadi mangsa curi.
"Bagaimanapun tindakan itu sebenarnya mengundang penjenayah yang sememangnya bijak mengambil peluang. Justeru, kita melihat langkah paling baik adalah dengan menyediakan peti simpanan barang agar membolehkan jemaah meninggalkan barangan di tempat selamat ketika menunaikan solat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Crime Awareness Day 1.0 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di Masjid Wakaf Tembesu di sini, kelmarin.
Program yang bertemakan 'Jom Rapatkan Saf' Bersama Mencegah Jenayah diadakan sempena sambutan Hari Polis ke-211 diadakan dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kuala Nerus.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Idris Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Wan Ismail Sahaimi Wan Omar, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil dan Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment