PSTNJ bangun akademi takraw

Monday, March 19, 2018

PSTNJ bangun akademi takraw

PSTNJ bangun akademi takraw

JOHOR BAHRU - Pembangunan akademi sepak takraw menjadi sasaran seterusnya Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSTNJ) sebagai usaha susulan merevolusikan sukan berkenaan khususnya di negeri ini pada masa depan.

Presidennya, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, lokasi serta tapak pembangunan akademi itu juga sudah pun dikenal pasti, namun ia hanya akan dilakukan sekiranya cadangan itu disambut baik kerajaan negeri.

Menurutnya, akademi itu kelak akan dilengkapi bangunan kompleks bagi kemudahan latihan, pusat pentadbiran dan juga asrama penginapan.

“Kita mahu dengan adanya sebuah akademi sepak takraw yang tersusun ini dapat memudahkan pemain untuk menjalani latihan selain menjadi venue utama bagi kejohanan sepak takraw sama ada di peringkat daerah mahupun negeri.

“Usaha ini sekali gus dapat mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan ini untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, memilih Pasir Gudang sebagai lokasi akademi berkenaan, adalah bagi memastikan pembangunan sukan itu dapat diselaraskan dan diletakkan berhampiran dengan pelbagai kompleks aktiviti sukan-sukan lain yang ada di Johor.

“Dekat Pasir Gudang ini senang, ia di tengah-tengah (centralized), di sini juga akan ada akademi badminton Lee Chong Wei jadi kita mahu semuanya dihimpunkan. Dengan ini kita dapat bangunkan satu penempatan yang mempunyai kemudahan sukan yang lengkap,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Johor di  Atrium Pasir Gudang, Pasir Gudang, baru-baru ini.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga penaung persatuan berkenaan dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail.

Abdul Halim berkata, pihaknya berpuas hati dengan penyertaan yang direkodkan menerusi penganjuran kejohanan terbesar sulung pihaknya itu selain berhasrat memastikan ia terus berjalan dengan baik di masa akan datang.

Sementara itu, Ahmad yang menyokong cadangan pembinaan akademi itu turut mencadangkan agar ia menjadi akademi sepak takraw negara sekiranya ia terlaksana kelak.

Beliau pada masa sama turut menggesa persatuan sepak takraw di setiap negeri untuk bergerak lebih aktif dengan mengadakan program pembangunan dan kejohanan bagi menyemarakkan lagi sukan tersebut.

 

 


 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment