Penembak negara Ezuan retak jari kelingking

Wednesday, March 14, 2018

Penembak negara Ezuan retak jari kelingking

Penembak negara Ezuan retak jari kelingking

KUALA LUMPUR: Berbaki 21 hari sebelum temasya Komanwel membuka tirai, penembak kebangsaan, Muhd Ezuan Nasir Khan berdepan dugaan apabila jari kelingking kanannya mengalami keretakan.

Namun pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) acara 50 meter (m) prone itu bersyukur ia bukanlah kecederaan serius sehingga boleh menjejaskan fokus kepada latihan dan persediaan ke temasya berkenaan.

Katanya, dia akan bertemu dengan doktor pakar esok, untuk menjalani rawatan lanjut.

"Alhamdulillah, ia bukan kecederaan yang teruk dan doktor yang merawat saya sebelum ini mengesahkan ia boleh sembuh sebelum saya berlepas ke Gold Coast, 1 April ini.

"Tambahan pula ia hanya kecederaan di bahagian jari sebelah kanan yang tidak banyak digunakan ketika pertandingan, jadi saya tidak terlalu bimbang," katanya yang mengalami kecederaan itu kerana tergelincir di kawasan Majlis Sukan Negara (MSN), semalam. 

Penembak berusia 29 tahun itu bagaimanapun menegaskan kecederaan itu menuntutnya berkerja lebih bagi mengimbangi latihan dan proses rawatan yang perlu dijalani.

Ezuan adalah antara sembilan atlet yang akan mengibarkan cabaran di temasya Komanwel yang akan bermula 4 April ini dan akan beraksi dalam acara 50m prone dan 10m air rifle. 

Meletakkan sasaran sekurang-kurangnya meraih satu pingat, Ezuan berkata, ia adalah sasaran yang realistik dan ingin dicapainya bagi melengkapkan kejayaan pingat di setiap temasya utama.

"Saya mahu meraih satu pingat tidak kiralah apa warnanya. Saya sudah ada pingat di Sukan SEA, Sukan Asia dan kali ini saya mahu pingat Komanwel pula.

"Bagaimanapun saya sedar ia bukan mudah terutama apabila perlu dengan dengan penembak handalan dari India, Australia dan juga Bangladesh," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment