Pendapatan nelayan terjejas

Thursday, March 22, 2018

Pendapatan nelayan terjejas

Pendapatan nelayan terjejas

LEBIH 40 nelayan Pengkalan Sanglang dekat sini mendakwa pendapatan mereka terjejas kerana sukar ke laut akibat muara sungai yang menjadi laluan utama bot keluar masuk semakin cetek.

Ketua Komuniti Pangkalan Sanglang, Ismail Nordin berkata, muara Sungai Sanglang yang menghubungkan nelayan ke laut itu menjadi cetek setelah berlaku pemendapan akibat banjir dua tahun lalu.

Ini menyebabkan muara sungai tersebut tidak dapat dilalui semua jenis bot nelayan kerana air cetek dan hanya selut tanah sahaja yang kelihatan ketika air surut.

Katanya, Komuniti Nelayan Sanglang meminta kerajaan membantu nelayan memandangkan hasil utama pendapatan bergantung se kepada rezeki dari laut.

“Sejak 2015 lagi, kami lihat Sungai Sanglang mula cetak. Keadaan tebing runtuh akibat banjir kilat memburukkan lagi keadaan. Akibatnya sungai yang jadi laluan keluar masuk bot, sukar dilalui sebab air cetek.

“Isu ini sudah diadukan kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pontian. Kami harap kerajaan dapat bantu selesaikan masalah nelayan di sini sebab Sungai Sanglang adalah periuk nasi kami,” katanya.

Seorang nelayan, Abd Jalil Salleh, 66, berkata, disebabkan muara cetek, dia terpaksa menunggu air pasang untuk ke laut menangkap ikan.

Katanya, banyak masa dikorbankan begitu sahaja untuk menanti air pasang.

“Biasanya dalam jam 11 pagi air sungai akan bertukar pasang. Ketika ini barulah dapat turun ke laut.

“Kalau air surut memang tidak dapat ke laut, sebab muara sungai cetek, bot terpaksa ditolak dalam keadaan berselut. Memang memenatkan,” katanya.

Justeru, Abd Jalil berkata, hanya terdapat satu jalan penyelesaian iaitu melakukan kerja-kerja mendalam sungai menggunakan jentera.

“Hendak keluar pun susah, hendak masuk ke jeti pun susah. Inilah dilema nelayan yang sepatutnya dipandang kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PNK Pontian, Hairul Akbar Saat ketika dihubungi memberitahu, terdapat lima sungai yang mengalami masalah muara cetek iaitu Sungai Sanglang, Sungai Rambah, Sungai Pontian Besar, Sungai Pulai Sebatang dan Sungai Patik Benut.

Katanya, masalah sudah diajukan dan dibawa kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi tindakan susulan.

“Dalam mesyuarat PNK Pontian juga, isu berkenaan antara menjadi perhatian.

“Kita sudah maklumkan kepada nelayan dan minta mereka bersabar sebab ia melibatkan peruntukan dan kerjasama beberapa agensi kerajaan,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment