Peluang keemasan kepada universiti tempatan

Friday, March 16, 2018

Peluang keemasan kepada universiti tempatan

Peluang keemasan kepada universiti tempatan

MALAYSIA Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) semalam mengumumkan sampel data syarikat-syarikat dalam kumpulan MTDC dan geran penyelidikan sosial masih tersedia untuk universiti tempatan yang berminat membangunkan projek sains sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata, MTDC menyediakan peluang kepada universiti tempatan untuk berhubung dengan syarikat-syarikat penerima dana MTDC.

Selalunya, masalah yang sering dihadapi (oleh universiti) dalam mengkaji pasaran dan lapangan adalah berkenaan sampel pasaran.

Sering berlaku, apabila universiti menghubungi syarikat dan menghantar borang untuk diisi, pihak syarikat tidak mengisinya kerana tidak ada hubungan. Jadi dengan kerjasama ini, kita memberi sampel atau data point untuk universiti tempatan berinteraksi dengan penerima dana MTDC, katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian replika cek kepada lima universiti yang telah diluluskan untuk geran penyelidikan sosial mini, di sini hari ini.

Norhalim berkata MTDC mempunyai portfolio lebih daripada 500 syarikat yang dibiayainya sejak 1992.

Ini adalah sampel yang sangat besar untuk dibuat kajian mengenai pelbagai aspek, seperti kerjasama dengan universiti, pengkomersialan, pembangunan teknologi serta aspek-aspek lain yang mungkin mempengaruhi kejayaan proses pengkomersialan dalam negara, katanya.

Penyelidikan topik-topik yang dianggap penting kepada MTDC, katanya, merangkumi  kajian ekosistem, halangan dan cabaran yang dihadapi usahawan muda terutamanya, serta adaptasi syarikat-syarikat dalam menghadapi revolusi industri 4.0.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Kuala Lumpur dan Pusat Pengajian Antarabangsa Kewangan Islam (INCEIF) -- dianugerahkan geran penyelidikan mini dengan jumlah keseluruhan RM565,000 oleh MTDC hari ini .

Norhalim berkata bagi tahun ini, MTDC mempunyai baki peruntukan geran penyelidikan sosial sebanyak RM850,000.

Secara puratanya, peruntukan RM850,000 boleh memanfaatkan antara lapan hingga 10 universiti lagi, bergantung kepada nilai dan skop sesuatu projek, yang mungkin antara RM50,000 hingga RM200,000 bagi setiap projek atau universiti, tambahnya.

Maklumat lanjut tentang geran penyelidikan sosial mini MTDC boleh diperoleh di www.mtdc.com.my - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment