Pakatan akan jadi kerajaan balas dendam
SEREMBAN: "Pakatan pembangkang jika berpeluang mentadbir negara, pasti akan menjadi kerajaan yang akan membalas dendam," kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang dilaporkan berkata, pakatan pembangkang akan memecat semua pegawai kerajaan yang dipercayai melindungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jika mereka menguasai Putrajaya.
Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan berkata, ketika ini pakatan pembangkang belum lagi menang dan mentadbir kerajaan, tetapi sudah memaklumkan mahu membuang pegawai kerajaan.
"Ini sama juga dengan rakan mereka dalam pakatan iaitu DAP yang pernah beritahu nak buang 50 peratus penjawat awam jika mereka jadi kerajaan," katanya ketika dihubungi di sini.
Petang tadi Mukhriz dalam Siri Dialog bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Senawang turut memaklumkan tindakan pemecatan itu akan dilaksanakan dalam tempoh 30 hari selepas pakatan pembangkang menawan Putrajaya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias, berkata tindakan Mukhriz itu seperti kata pepatah bapa borek anak rintik.
Katanya, sikap yang ditunjukkan Mukhriz tidak ubah seperti bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersifat kuku besi ketika menjadi Perdana Menteri.
"Apa yang dapat saya katakan adalah Mukhriz dan Mahathir sama saja. Belum mendapat kuasa, sudah menunjukkan sikap kuku besi," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment