Merana gara-gara 'Donald Trump'
KABUL - AFGHANISTAN. Ketika isterinya melahirkan anak ketiga pada Ogos 2016, Assadullah Poya mengambil keputusan untuk menamakan bayinya Donald Trump, dan kini keluarganya terpaksa hidup dalam penghinaan akibat nama itu.
Assadullah berkata dia memilih nama Donald Trump kerana mengagumi personaliti itu sebagai seorang ahli perniagaan yang tegas dan berjaya.
"Saya suka keperibadiannya, dia tahu apa yang dia mahu dan pasti akan mendapatkannya," kata Assadullah.
Keputusan Assadullah mendapat tentangan keras kedua ibu bapanya yang berang cucu mereka tidak diberi nama yang biasa untuk seorang Muslim.
Tidak tahan dikecam oleh keluarga dan penduduk sekitar, Assadullah nekad berpindah ke Kabul bersama isteri dan anak-anaknya.
Namun situasi menjadi semakin teruk, jiran sekeliling memulaukan mereka serta menggelarnya kafir kerana menamakan anaknya dengan nama pemimpin Amerika itu.
Mereka mendesak keluarga Assadullah dihalau dari kejiranan itu, malah mereka turut menerima ancaman bunuh apabila perihal nama anaknya tersebar di Facebook.
Assadullah berkata dia tidak mempunyai sebarang halangan jika anaknya mahu menukar nama apabila dewasa kelak, namun buat masa ini, nama Donald Trump akan kekal dalam keluarganya. - SCMP
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment