Malaysia komited jadi negara neutral karbon 2050 - TPM

Friday, March 23, 2018

Malaysia komited jadi negara neutral karbon 2050 - TPM

Malaysia komited jadi negara neutral karbon 2050 - TPM

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memberi komitmen dan memainkan peranan penting dalam peralihan global, seterusnya menjadi negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Malaysia mengesahkan komitmen terhadap Perjanjian Paris di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai perubahan iklim.

"Menerusi Agenda Bandar Baharu PBB juga, ada ditetapkan piawaian global baharu untuk pembangunan bandar lestari.

"Ia adalah 'road map' untuk pembangunan bandar yang bukan saja boleh berfungsi sebagai pemacu kemakmuran, malah menjadi pusat kebudayaan, kesejahteraan sosial, selain melindungi alam sekitar," katanya menerusi teks dibacakan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid pada Anugerah Hibiscus Perdana Menteri (AHPM) 2016/2017 di ibu negara, malam ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AHPM, Tan Sri Mustafa Mansur dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim.

Ahmad Zahid berkata, Agenda Bandar Baharu juga menyediakan panduan bagi negara seluruh dunia mencapai matlamat pembangunan mampan dikenali sebagai SDGs dan asas bagi tindakan perlu digunakan dalam menangani perubahan iklim.

Beliau berkata, penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab, tindakan iklim serta industri, inovasi dan infrastruktur adalah antara 17 matlamat SDGs yang turut diguna pakai Malaysia sejak September 2015.

Katanya, semua matlamat itu antara lain untuk memastikan pembangunan perindustrian inklusif yang mampan dapat menjadi sumber utama untuk menjana pendapatan.

"Selain itu, ia turut membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat dan pada masa sama, menyediakan penyelesaian teknologi kepada perindustrian yang mesra alam sekitar.


Timbalan Presiden Kerry, Adeeb Zobeideh (kiri) bersama Pengurus Operasi Kerry, Airol Ikmar Limin menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan AHPM pada majlis Anugerah Hibiscus Perdana Menteri (AHPM) 2016/2017 di Royal Chulan Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Dalam hal ini, sektor swasta dan pihak individu perlu memainkan peranan masing-masing untuk menjaga alam sekitar dengan bukan saja mengamalkan gaya hidup mampan, malah turut mengguna pakai model ekonomi sama (mampan).

"Ia seiring dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk menjadikan Malaysia antara 20 negara terbaik dunia dari segi kemakmuran, kebahagiaan dan kemampanan," katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Kerry Ingredients (M) Sdn Bhd, cawangan Tampoi, Johor, dipilih memenangi AHPM 2016/2017, manakala penulis Khas Sabah Daily Express, Kan Yaw Chong pula merangkul Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar menerusi siri laporan mengenai kontroversi 'Jambatan Sukau'.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment