Lelaki ditahan cuba rampas senjata anggota polis
KAJANG - Seorang lelaki berusia 23 tahun ditangkap kerana cuba merampas senjata api daripada anggota polis bertugas di Balai Polis Sg Long, kira-kira jam 2.40 pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, suspek yang masuk ke dalam balai polis secara tiba-tiba cuba merampas senjata jenis HK MP5 daripada anggota sentri yang sedang bertugas.
"Berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis terbabit sebelum suspek berjaya ditangkap dengan bantuan anggota Pejabat Pertanyaan Balai.
"Seorang anggota telah cedera di bahagian pergelangan tangan kanan," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berada dalam pengaruh dadah ketika bertindak demikian dan suspek mengaku penglibatan beliau dengan dadah.
"Semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek memiliki satu rekod berkaitan kes tipu.
"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis kerana berkelakuan tidak senonoh di Balai Polis dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap penjawat awam," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment