Laporan NTP: 'Nafas baharu' pengangkutan awam

KUALA LUMPUR: Inisiatif memacu pengangkutan awam bandar pada 2017 menyaksikan anjakan kualiti jaringan sistem berkenaan, sekali gus mencatat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 peratus.
Berteraskan pelaksanaan siri projek berimpak tinggi yang memberi nilai tambah kepada kelestarian rangkaiannya, sistem pengangkutan awam darat di Lembah Klang dan Greater Kuala Lumpur (KL) melakar pelbagai kejayaan.
Perkhidmatan bas yang sering disifatkan nadi pengangkutan menghubungkan antara bandar antaranya merekodkan lonjakan indeks kepuasan pelanggan kepada 90 peratus, tahun lalu berbanding 84 peratus pada 2016.
Rombakan rangkaian perjalanan 11 bas ganti-ganti, merangkumi 348 laluan yang dirintis kerajaan untuk kawasan Lembah Klang dan Greater KL ternyata membuahkan hasil apabila 90 peratus operator memberi 'nafas' baharu terhadap kualiti perkhidmatan mereka, sekali gus menyaksikan peningkatan jumlah pengguna sebanyak sembilan peratus.

Kesan limpah terhadap usaha itu turut merekodkan purata harian penumpang bagi rel dan bas pada 2017 adalah 1.21 juta.
Susulan keberkesanan Transit Aliran Ringan (LRT) yang menembusi segenap kawasan pinggir kota pasca projek pembinaan jajaran baharu, 457,658 penumpang perkhidmatan itu kini mewakili 38 peratus daripada keseluruhan kadar pengguna perkhidmatan awam.
Perangkaan berkenaan diunjurkan terus melonjak apabila LRT3, membabitkan laluan sepanjang 37 kilometer dengan anggaran nilai projek RM9 bilion siap pada suku ketiga 2020, sekali gus menghubungkan dua juta penduduk sepanjang koridor barat Lembah Klang, dari Johan Setia dan Bandar Utama.
Menyingkap kejayaan pembinaan tren Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang seumpamanya, membabitkan jajaran sepanjang 51 kilometer pada Julai tahun lalu, kadar purata harian pengguna perkhidmatan itu ialah 110,000 orang.
Selain memudahkan perjalanan warga kota, projek kemudahan berskala mega yang menyaksikan penjimatan kos projek RM2 bilion itu menyuraikan trafik di Lembah Klang berikutan penyusutan kadar kemasukan kenderaan sehingga 160,000 unit.
Mengukuhkan rangkaian perkhidmatan operasi rel, Sistem Bayaran Tanpa Tunai Bersepadu (ICPS) untuk Lembah Klang dan Greater KL setakat 2017 siap 61 peratus.
Keluhan pemandu teksi atau 'duta kecil' negara mengenai persaingan industri perkhidmatan itu tidak pernah disisihkan, justeru kerajaan merangka akta perkhidmatan e-hailing yang dijangka diwartakan selewat-lewatnya Jun ini.
Inisiatif untuk menyeimbangi persaingan sengit industri itu turut disusuli penyaluran peruntukan RM5,000 kepada 581 pemandu teksi membeli kenderaan baharu dalam usaha memberi kualiti perkhidmatan terbaik kepada pengguna.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment