Kerajaan tanggung bil lampu jalan

Monday, March 19, 2018

Kerajaan tanggung bil lampu jalan

Kerajaan tanggung bil lampu jalan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menanggung keseluruhan bil elektrik lampu jalan berjumlah RM7.076 juta di tanah rancangan milik FELDA, FELCRA Berhad (FELCRA) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bagi menyelesaikan masalah bekalan elektrik terputus di kawasan berkenaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jumlah itu termasuk bil elektrik lampu jalan semasa di FELDA dengan pemasangan 5,500 lampu jalan baharu di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, bayaran akan dilaksanakan melalui KKLW iaitu insentif yang baru diluluskan Kabinet.

Katanya, sebelum ini, kerajaan hanya membayar bil lampu jalan kampung (LJK) bagi kampung tradisional dan kampung Orang Asli sebanyak RM80 juta setahun.'

"Bagi FELCRA, kita akan menanggung bil keseluruhan LJK sebanyak RM223,847, manakala RM316,980 di KETENGAH.

"Saya difahamkan, FELDA sebelum ini menanggung sendiri bil elektrik dan sering mengalami masalah bekalan elektrik jika Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) tidak mampu membayar bil.

"Justeru, dengan bantuan kerajaan ini, saya percaya masalah bekalan elektrik LJK di FELDA, FELCRA dan KETENGAH tidak akan berulang lagi," katanya menjawab soalan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, mengenai jumlah LJK yang akan dipasang di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.

Bulan lalu, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta bagi membina LJK yang bakal memberi manfaat kepada 2.5 juta penduduk kampung di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, daripada jumlah itu, kerajaan meluluskan peruntukkan RM50 juta, manakala baki RM50 juta akan disumbangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), membabitkan pembinaan 50,000 unit LJK.

Ismail Sabri berkata, pada tahun ini sebanyak 25,900 unit LJK jenis LED dan High Pressure Sodium Vapour (HPSV) akan di pasang di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, sehingga kini 97 peratus daripada 111,833 unit LJK sudah dilaksanakan iaitu 108,075 unit membabitkan 102,144 unit jenis HPSV dan 5,931 unit LED.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment