JHEAT jawab viral masalah kad nikah

KUALA TERENGGANU: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menegaskan masalah kelewatan cetakan kad perakuan nikah yang dikaitkan dengan kerosakan mesin, sehingga menjadi viral di media sosial Facebook, sebagai kurang tepat.
Pesuruhjaya JHEAT, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar berkata, hanya mesin pencetak di Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dan Pejabat Agama Daerah Kemaman yang mengalami kerosakan, manakala daerah lain dalam keadaan baik.
Beliau berkata, kerosakan mesin di daerah Kuala Terengganu berlaku pada Oktober hingga November tahun lalu, manakala di Kemaman pula, kerosakan mesin berlaku pada Disember tahun lalu.
"Hasil siasatan dilakukan, kelewatan itu berlaku mungkin disebabkan kita (JHEAT) terlepas pandang dalam memasukkan maklumat berkenaan perkahwinan pengadu kerana kaedah 'key in' data.
"Bagaimanapun, penambahbaikan sistem cetakan kad nikah iaitu daripada 'offline' kepada 'online' sedang dalam pelaksanaan seperti pemasangan 'staging server' baru dan pengujian sistem dan perisian baru oleh pembekal," katanya kepada NSTP, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai viral di Facebook mengenai kad perakuan nikah yang dilaporkan lewat diterima dan ia dikatakan berpunca daripada mesin pencetak kad yang rosak.
Wan Ismail Sahaimi berkata, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu menjadi perintis untuk menguji sistem cetakan kad nikah baharu bagi mengukuhkan sistem cetakan sebelum diguna pakai di daerah lain.
Katanya, pihaknya sudah mengambil beberapa langkah iaitu membabitkan pembelian dan pemasangan 'staging server' yang akan selesai pada Ahad ini.
"Latihan kepada pengguna pula dijadualkan pada Isnin ini, manakala latihan di daerah bermula 27 hingga 29 Mac sebelum pelaksanaan keseluruhan pada 1 April depan," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment