Harga penerbangan domestik akan dikaji
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menetapkan harga siling bagi penerbangan domestik berikutan kenaikan tambang yang mencecah hingga lima kali ganda terutama pada musim perayaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sedang menjalankan kajian tersebut dalam memastikan wujud situasi menang-menang antara penumpang dan syarikat penerbangan.
"Harga tambang biasa Semenanjung ke Sabah dan Sarawak antara RM160 hingga boleh mencecah paling mahal RM800 di mana kajian Mavcom mendapati ia boleh naik sehingga lima kali ganda.
"Jadi mereka (Mavcom) sedang merangka kajian tersebut untuk bekerjasama dengan pihak industri untuk mengurangkan kadar keuntungan yang mungkin kita akan turunkan kepada kadar sewajarnya," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) yang bertanyakan apakah langkah yang diambil Mavcom dalam mengatasi kenaikan harga melampau penerbangan domestik terutama pada musim perayaan.
Tambah Aziz, kajian harga siling penerbangan domestik itu dijangka selesai pada pertengahan tahun ini.
Beliau pada masa sama meminta pengguna untuk mendapatkan tiket penerbangan lebih awal bagi mengelakkan kenaikkan harga mendadak.
Bagaimanapun, kenyataan Aziz itu ditangkis Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) yang turut akui menjadi mangsa syarikat tambang murah yang 'tidak murah'.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment